KUANTAN, 14 Mac (Bernama) -- Gaya lelaki berkulit sawo matang di kaki lima lorong Cobbler berhadapan Jalan Besar ini, tidak ubah selebriti hip-hop dengan memakai kemeja-T tanpa lengan, berseluar baggy serta berkaca mata hitam yang menjadi ikutan anak muda era 90-an.
Namun, di sebalik penampilannya, ramai tidak menyangka Muhammad Adam Muhammad Ali, 27, merupakan seorang daripada tukang kasut jalanan di kawasan yang dikhaskan untuk pembuat kasut iaitu di Kuantan Art Street.
Sejak tujuh bulan lepas, kerjaya itu menjadi mata pencarian untuk menyara keluarga hasil tunjuk ajar orang-orang lama kebanyakannya warga emas yang berkecimpung dalam pembaikan kasut lebih dua dekad di serata bandar raya ini.
“Memang ramai tidak menyangka saya antara seorang tukang baiki kasut jalanan di sini disebabkan penampilan begini dan kebanyakannya menganggap saya pelanggan atau pelancong yang menghantar kasut di lorong ini untuk dibaiki,” katanya kepada Bernama sambil menjahit tapak kasut sukan.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata dia selesa dengan penampilannya dan percaya dengan cara itu, dia dapat menarik golongan muda untuk menceburi kerjaya pembuat kasut yang disifatkannya sebagai pekerjaan berseni di samping mengubah persepsi orang ramai bahawa bekerja sebagai tukang kasut adalah pekerjaan kelas rendah.
"Tukang kasut adalah satu pekerjaan berseni,” katanya.
Muhammad Adam yang pernah bekerja sebagai jurulatih kecergasan di Kuala Lumpur itu berkata kerjaya itu tidak memberinya kepuasan sepertimana membaiki kasut.
“Saya sebenarnya terdedah dengan seni kraftangan sejak kecil lagi apabila kami adik-beradik melihat ayah yang bukan sahaja mahir menjahit, membaiki kasut, menghasilkan pelbagai produk kraf kayu tetapi juga turut menghasilkan capal dengan jenama ‘Krafty Kays’.
“Ayah bermula dengan membaiki kasut di tepi jalan...daripada situ saya melihat pekerjaan ini sesuatu yang istimewa kerana tidak semua orang memiliki kemahiran tersebut dan disebabkan itu saya ingin mewarisi perniagaan ayah tetapi mahu mula dari bawah dengan melakukannya di tapak kaki lima ini,” katanya.
Tidak malu meminta tunjuk ajar atau bantuan daripada tukang kasut berpengalaman, Muhammad Adam berkata ramai menganggap pekerjaan itu mudah dan tidak memerlukan tenaga.
Menurutnya, bidang pembaikan kasut mempunyai cabaran tersendiri sepertimana kerjaya lain bagi memastikan kasut yang dibaiki itu tahan lama, berkualiti dan selesa dipakai oleh empunya.
“Jauh bezanya sekiranya tukang kasut itu ada ilmu menjahit dan menampal. Dengar macam mudah, tampal dan jahit tetapi hendak pastikan tapak itu betul-betul kemas, selesa selepas dijahit serta ditampal adalah sukar dan disebabkan itu saya katakan pekerjaan ini berseni.
“Sebenarnya, kerjaya ini mampu memberi pendapatan lumayan sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh dan kebanyakan ‘otai’ (orang lama) di sini bukan sahaja mampu menyara keluarga tetapi juga membeli rumah, kereta dengan pendapatan sebagai tukang kasut jalanan,” katanya.
Dengan harga serendah RM15 hingga RM60 bergantung kepada tahap kesukaran membaiki kasut rosak, tidak hairanlah apabila khidmat tukang kasut jalanan terus menjadi pilihan masyarakat berbanding menghantar ke kedai yang kos upahnya lebih mahal.
“Syukur apabila ada lorong yang dikhususkan untuk tukang kasut jalanan mencari rezeki kerana ini juga memudahkan orang tempatan dan pelancong yang mahu membaiki kasut mereka. Malah, di sini (lorong cobbler) jugalah saya mendapat pelanggan tetap dari Kuala Lumpur yang berpuas hati dengan hasil kerja,” katanya sambil berharap lebih ramai anak muda menceburi bidang ini supaya ia tidak ‘dicuri’ warga asing.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan