EKONOMI

GOODYEAR BEKERJASAMA DENGAN BEBERAPA SYARIKAT SEDIA PEKERJAAN, JAMIN PAMPASAN TINGGI - ZAFRUL

08/03/2024 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Semua proses peralihan yang meliputi kebajikan pekerja telah dilaksanakan sebelum pengumuman oleh Goodyear untuk menutup kilangnya di Shah Alam.

Ini termasuklah kerjasama dengan beberapa syarikat seperti Proton Holdings Bhd (Proton) untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja yang terjejas.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini bagi memastikan proses peralihan bagi para pekerja berjalan lancar tanpa sebarang masalah berbangkit.

Tambah beliau, Goodyear turut memberi jaminan akan memberi pampasan yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang.

“Mengapa kilang ini ditutup? (Ini kerana) Goodyear menyasarkan pengurangan kos sehingga US$1 bilion setahun menjelang 2025, yang mana penutupan kilang di Shah Alam adalah sebahagian daripada langkah pengurangan kos yang diambil.

“Goodyear juga bakal menutup dua kilang tayarnya di Jerman, melibatkan 1,750 pekerja. Sebuah kilang tayar di United Kingdom juga bakal ditutup. Jadi, bukan operasi di Malaysia sahaja, malah operasi Goodyear di seluruh dunia juga turut terjejas,” katanya dalam hantaran di aplikasi X pada Jumaat. 

Goodyear dilaporkan akan menutup kilangnya di Shah Alam, Selangor setelah beroperasi lebih lima dekad yang menjejaskan kira-kira 550 kakitangan.

“Dari dulu hingga sekarang, sentiasa ada syarikat yang gulung tikar dan syarikat baharu yang dibuka.

“Cabaran kita ialah untuk memastikan lebih banyak pelaburan masuk daripada pelaburan keluar,” katanya.

Justeru, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menggerakkan pasukan khusus melibatkan Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Pemudahcara Invest Malaysia untuk memudahkan penempatan pekerjaan, serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan