AM

Dasar Peluang Kedua Langkah Tepat, Namun Perlu Pelaksanaan Teliti

08/03/2024 02:29 PM

Oleh Anasathia Anak Jenis

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Inisiatif kerajaan memperluaskan Dasar Peluang Kedua kepada golongan muda berusia di bawah 40 tahun yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 disifatkan sebagai langkah tepat dan baik, namun perlu dilaksanakan dengan teliti untuk mengelakkan kesilapan sama berlaku kepada seseorang individu.

Bagi pekerja swasta Fadzli Norhisham Md Rashid, 37, inisiatif itu akan memberi peluang kerja kepada golongan belia yang bankrap selain dapat menggunakan perkhidmatan bank semula.

"Dalam pada itu, peluang ini ialah satu motivasi untuk golongan muda menyemak dan mengubah cara pemikiran serta gaya hidup khususnya berkaitan kewangan," katanya.

Sementara itu, Norman Mai, 29, yang juga eksekutif komunikasi korporat dan pemasaran di sebuah universiti swasta di ibu kota, mencadangkan agar dasar tersebut disertai dengan program literasi kewangan dengan pendekatan yang lebih holistik.

Beliau berkata penting bagi kerajaan menghasilkan pendekatan atau garis panduan dalam usaha mendidik golongan muda tentang pengurusan kewangan berkesan untuk mengelakkan mereka melakukan kesilapan sama iaitu berhutang pada masa hadapan.

“Strategi proaktif ini berpotensi untuk mengurangkan pergantungan pada langkah pelepasan hutang dari semasa ke semasa, di samping memupuk kestabilan kewangan jangka panjang.

“Memberi peluang sahaja mungkin tidak dapat menangani masalah kewangan segera yang dihadapi oleh seseorang,” katanya.

Pelepasan dari hutang sahaja katanya tidak memadai dan penelitian terperinci dari segi pelaksanaan termasuk memantau pengurusan kewangan perlu dilakukan.

Senada dengan Norman, penulis bebas Garret Dawum, 35, berkata peluang kedua itu perlu diperincikan dan diteliti semula berikutan beberapa faktor seperti peningkatan kos sara hidup dan kenaikan cukai. 

"Harga barang semakin mahal, namun gaji yang diterima tidak cukup untuk membiayai kehidupan. Orang muda mungkin akan sukar dalam meneruskan kelangsungan hidup dan akan lebih tertekan.

"Saya berpendapat kerajaan perlu melakukan perincian dalam memperluaskan peluang kedua itu agar dasar itu dapat memanfaatkan golongan muda dan tidak sia-sia dilaksanakan," katanya.

Pada Mac tahun lepas, Jemaah Menteri bersetuju meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) melibatkan penambahbaikan peruntukan pelepasan bankrap dengan Seksyen 33C Akta 360 yang berkuat kuasa 6 Okt lepas.

Diumumkan sebagai Dasar Peluang Kedua, pindaan tersebut bertujuan membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari tarikh individu bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwalnya.

Sementara itu pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Dasar Peluang Kedua diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan