AM

Adun Selat Klang Isytihar Sokong Kepimpinan Menteri Besar Selangor

06/03/2024 04:35 PM

SHAH ALAM, 6 Mac (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang daripada Perikatan Nasional (PN) Datuk Abdul Rashid Asari hari ini mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor itu berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat. 

Katanya langkah itu turut mengambil kira beberapa siri tindakan PN terutamanya PN Selangor yang berdiam diri terhadap tohmahan dilontar kepada Raja-Raja Melayu yang menurutnya berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam.

“Saya turut mengambil keputusan ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat Selangor terutama penduduk di kawasan N44 Selat Klang akan menerima manfaat daripada kerajaan yang stabil serta padu,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Bagaimanapun Abdul Rashid berkata beliau kekal komited sebagai ahli Bersatu.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San ketika ditemui pemberita di lobi Wisma Dewan Negeri Selangor memaklumkan belum menerima pemakluman berhubung tindakan Abdul Rashid setakat 1.50 tengah hari ini.

“Kedudukan (kerusi dalam DUN Selangor), saya akan bincang balik sebelum membuat keputusan berkaitannya dan kalau mengambil kira pernyataan sokongan Selat Klang, maka kedudukan PN di DUN Selangor adalah 21 kerusi,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan