EKONOMI

Cimb, Petronas Meterai Perjanjian Induk Tahawwut Bagi Derivatif Komoditi Patuh Syariah

06/03/2024 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- CIMB Islamic Bank Bhd dan Petronas hari ini menandatangani Perjanjian Induk Tahawwut (TMA) pertama bagi derivatif komoditi patuh syariah, menandakan pembabitan syarikat minyak dan gas negara itu dalam derivatif patuh syariah.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata Petronas adalah syarikat pertama di Malaysia yang memanfaatkan instrumen lindung nilai komoditi patuh syariah CIMB Islamic untuk dagangan Derivatif Komoditi Tenaga Islam.

TMA berkenaan, iaitu perjanjian kerangka berbilang produk yang dirangka oleh Persatuan Swap dan Derivatif Antarabangsa (ISDA) dengan kerjasama Persatuan Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM) untuk mengawal selia transaksi derivatif patuh syariah, menawarkan pasaran dengan syarat yang diterima dan distandardkan di peringkat global untuk produk lindung nilai Islam.

Menurut kenyataan itu, TMA juga dijangka mendorong pertumbuhan produk lindung nilai Islam di pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Naib Presiden Perbendaharaan Petronas, Freida Amat berkata pelaksanaan TMA memperlihatkan sokongan syarikat dalam meningkatkan pembangunan derivatif patuh syariah di peringkat global.

“Penggunaan derivatif di bawah TMA akan membolehkan Petronas untuk mengurus pendedahan kami secara patuh syariah. Kami tetap membantu pertumbuhan industri kewangan Islam dan kami yakin perkongsian ini boleh menyokong lebih banyak penyelesaian kewangan Islam pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan sama.

Pada masa ini, CIMB telah memainkan peranan aktif dalam memacu pertumbuhan kewangan Islam dan mampan, manakala Petronas turut melabur dalam produk berkaitan Islam dan telah menerbitkan sukuk dan kemudahan pembiayaan Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan