AM

Pelancongan Kesihatan: Tourism Johor Akan Adakan Pertemuan Dengan Hospital Pakar

05/03/2024 04:56 PM

JOHOR BAHRU, 5 Mac (Bernama) -- Tourism Johor akan mengadakan pertemuan dengan beberapa hospital pakar dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan kesihatan di negeri itu.

Pengarahnya Sharil Nizam Abdul Rahim berkata perancangan dan strategi bagi memberikan perkhidmatan terbaik meliputi segenap aspek dalam sektor itu merupakan antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Beliau berkata ini kerana usaha bagi menambah baik perkhidmatan sektor berkenaan yang antaranya mendapat sambutan dalam kalangan pelancong dari Indonesia, perlu dilakukan secara berterusan.

“Kita mahu menawarkan perkhidmatan bukan setakat (pelancongan kesihatan) di hospital sahaja, ia juga perlu mengambil kira (aspek) penginapan di hotel yang selesa dan berdekatan dengan hospital.

“Selain itu pelancong juga perlu mudah untuk mendapatkan makanan dan perkhidmatan pengangkutan kerana sektor ini perlu memberi limpahan ekonomi yang tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja,” katanya pada sidang media selepas melawat restoran Zainals Place di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sambutan terhadap sektor pelancongan kesihatan di Johor.

Mengenai kesan kejatuhan ringgit kepada sektor pelancongan di Johor, beliau berkata ia akan memberikan impak positif namun usaha mempromosi produk pelancongan perlu dipergiatkan bagi menarik kedatangan pelancong khususnya dari Singapura.

“Kita kena ambil peluang untuk memasarkan produk kita supaya apabila mereka masuk berbelanja ke Johor, perniagaan usahawan tempatan kita dapat ditingkatkan dan dikembangkan seperti restoran Zainals Place ini yang dikunjungi berbilang bangsa termasuk dari Singapura.

“Kita tidak boleh berdiam diri. Walaupun ringgit jatuh usaha perlu dipertingkat supaya pelabur dan pelancong masuk berbelanja di Johor,” katanya menambah aliran duit masuk akan menambah baik ekonomi dalam jangka masa panjang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan