DUNIA

China Sasar Pertumbuhan 5 Peratus Pada 2024

05/03/2024 04:34 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

BEIJING, 5 Mac (Bernama) -- China menyasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara itu mencatat pertumbuhan 5.0 peratus pada tahun 2024, lebih rendah daripada 5.2 peratus yang dicapai pada tahun 2023 di tengah-tengah persekitaran ekonomi global yang lembap, kata Perdana Menteri Li Qiang  pada Selasa.

China juga merancang untuk mewujudkan 1.2 juta pekerjaan di bandar dan menyasarkan kadar pengangguran sebanyak 5.5 peratus serta peningkatan indeks harga pengguna sekitar 3.0 peratus tahun ini.

Li berkata China juga menetapkan nisbah defisit kepada KDNK pada 3.0 peratus untuk tahun ini, dengan defisit kerajaan meningkat 180 bilion yuan daripada jumlah bajet 2023 negara.

"Dalam menetapkan sasaran ini, kami mempertimbangkan dinamik yang sedang berlaku di dalam dan luar negara serta faktor-faktor lain yang berkaitan dan apa yang diperlukan dan apa yang mungkin.

"Dalam menetapkan kadar pertumbuhan sekitar 5.0 peratus, kami telah mengambil kira keperluan untuk meningkatkan pekerjaan dan pendapatan serta mencegah dan mengurangkan risiko," katanya pada pada pembukaan sesi perundangan tahunan negara di dewan Great Hall of the People.

Beliau berkata kadar pertumbuhan itu selaras dengan objektif Rancangan Lima Tahun ke-14 China dan matlamat untuk merealisasikan pemodenan.

Menurut beliau, ini juga mengambil kira potensi pertumbuhan dan keadaan yang menyokong pertumbuhan untuk mengejar kemajuan.

"Mencapai sasaran tahun ini bukanlah mudah, jadi kami perlu mengekalkan fokus dasar, bekerja lebih gigih dan menggerakkan usaha bersepadu semua pihak," kata Li.

Beliau berkata China mengunjurkan hasil fiskalnya akan terus berkembang pada tahun 2024 dan kerajaan China juga akan mempunyai dana yang dipindahkan daripada sumber lain. 

"Atas dasar ini, perbelanjaan awam am dalam belanjawan kerajaan diunjurkan mencapai 28.5 trilion yuan, peningkatan sebanyak 1.1 trilion yuan berbanding tahun lepas,” katanya.

Pada 2024, Li berkata 3.9 trilion yuan bon tujuan khas untuk kerajaan tempatan akan dikeluarkan, peningkatan sebanyak 100 bilion yuan berbanding tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan