DUNIA

Kumpulan Bersenjata Di Haiti Cuba Ambil Alih Kawalan Ke Atas Lapangan Terbang Utama

05/03/2024 04:17 PM

    BOGOTA (Colombia), 5 Mac (Bernama-Anadolu Agency) -- Kumpulan bersenjata cuba mengambil alih kawalan di lapangan terbang antarabangsa utama Haiti pada Isnin, dalam siri serangan terbaru, termasuk insiden kumpulan banduan melarikan diri dari dua penjara utama.

Agensi Anadolu (AA) melaporkan bahawa kumpulan itu bertempur dengan polis dan tentera di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Toussaint Louverture, yang ditutup ketika serangan itu berlaku.

Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas anggota kumpulan bersenjata menyerbu dua penjara terbesar di negara itu dan membebaskan lebih 3,800 banduan.

Berikutan serangan itu, pihak berkuasa Haiti mengisytiharkan perintah berkurung pada waktu malam dan melancarkan operasi menjejaki banduan yang melarikan diri yang sebahagian besarnya dituduh melakukan pembunuhan dan penculikan.

Insiden belaku semasa ketiadaan Perdana Menteri Haiti Ariel Henry, yang berlepas ke Kenya untuk memuktamadkan butiran bagi penempatan 1,000 anggota polis Kenya untuk menguasai semula negara itu.

Seorang bekas pegawai polis, Jimmy Cherizier yang dikenali sebagai Barbecue yang mengetuai kumpulan itu berkata matlamatnya adalah untuk menghalang kepulangan Henry.

Setakat ini belum ada kepastian sama ada Henry akan kembali ke Haiti memandangkan risiko keselamatan yang semakin meningkat dalam negara.

Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh sejak Khamis, termasuk empat anggota polis, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 15,000 orang terpaksa meninggalkan rumah berikutan gelombang keganasan terbaru yang menyebabkan Amerika Syarikat menasihati rakyatnya supaya meninggalkan negara itu "secepat mungkin", manakala Kanada menutup sementara kedutaannya.

Sementara itu, Haiti bergelut dengan gelombang keganasan kumpulan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang diburukkan lagi dengan pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada 2021.

Kumpulan pengganas kini menguasai sehingga 80 peratus ibu kota Port-au-Prince, dan mereka melakukan keganasan termasuk membunuh, menculik dan merogol.

Polis Haiti mempunyai kira-kira 9,000 anggota untuk melindungi keselamatan lebih 11 juta penduduk, menurut PBB.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan