EKONOMI

Mpoc Raih Potensi Jualan Rm705 Juta Daripada Pembeli Mena

05/03/2024 03:21 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman and Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) meraih potensi jualan berjumlah RM705 juta daripada sesi padanan perniagaan dalam Lawatan Perdagangan dan Rangkaian bagi Pembeli Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata syarikat daripada tiga negara MENA, iaitu Turkiye, Mesir dan Algeria mencari pelbagai produk sawit, termasuk olein minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), dalam bentuk pek pengguna dan pukal, minyak masak, lelemak dan lemak khusus. 

Menyifatkan inisiatif itu sebagai satu kejayaan, MPOC telah didekati oleh ahli industri untuk menganjurkan program serupa bagi pasaran di rantau Asia Pasifik dan Sub-Sahara Afrika. 

“Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama dan sokongan padu pihak berkepentingan minyak sawit Malaysia.

"Saya menggalakkan lebih ramai ahli industri untuk mengambil bahagian dalam edisi 'Perdagangan dan Rangkaian' akan datang kerana adalah penting untuk kita mempergiatkan usaha untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia yang mampan kepada dunia dan meneroka pasaran yang belum diterokai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengurus jualan serantau Oilnco Industries Sdn Bhd Mohammed Zubir Abdul Razak berkata program itu membantu syarikat kecil tempatan mengakses pasaran berbeza dan mendapat pendedahan mengenai platform antarabangsa industri minyak sawit khususnya untuk menembusi pasaran Eropah.

“Menembusi pasaran Eropah memerlukan strategi jangka panjang berbanding jangka pendek, jadi kami perlu mewujudkan hubungan di pelbagai peringkat, termasuk peringkat menteri, untuk berjaya menembusi pasaran ini.

"Di sinilah organisasi seperti MPOC berperanan dan membantu pemain industri memasarkan produk minyak sawit ke negara-negara ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, seorang peserta dari Mesir berkata tahap penerimaan produk minyak sawit adalah sangat baik kerana rakyat Mesir lebih menggemari produk berasaskan sayuran.

Naib Pengerusi dan Pengarah Urusan Cairo Oil & Soap Co Amr Heiba berkata walaupun mereka lebih menggemari minyak kacang soya dan bunga matahari, rakyat Mesir terbuka untuk menggunakan produk berasaskan minyak sawit kerana harganya yang kompetitif di pasaran.

“Ini adalah kali pertama kami datang ke Malaysia dan berpeluang melihat pelbagai proses terlibat dalam rantaian bekalan pengeluaran minyak sawit di salah satu ladang.

"Acara seperti ini (jika dianjurkan pada masa hadapan) harus diperluaskan ke lebih banyak negara untuk membantu mempromosikan produk minyak sawit," katanya.

Program tiga hari itu memberi pendedahan berkaitan sektor minyak sawit Malaysia seperti pembentangan tentang khasiat daripada segi kesihatan minyak sawit Malaysia dan perkembangan terkini mengenai prospek dan isu semasa berkaitan sektor hiliran dan pertengahan daripada Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan