DUNIA

Perdana Menteri Baru Shehbaz Jemput Anwar Lawat Pakistan

05/03/2024 08:22 AM

NEW DELHI, 5 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri baru Pakistan Shehbaz Sharif menjemput Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melawat negaranya semasa kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan bilateral yang lebih teguh melalui panggilan telefon.

Anwar telah menelefon Shehbaz pada Isnin untuk mengucapkan tahniah kepadanya kerana dilantik Perdana Menteri ke-24 Pakistan.

"Perdana Menteri telah mengundang Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melawat Pakistan. Sambil menerima undangan itu, Perdana Menteri Malaysia juga telah menjemput PM Shehbaz Sharif untuk melawat negaranya," lapor agensi berita negara itu Associated Press of Pakistan (APP).

Kedua-dua mereka menekankan kepentingan pertukaran tingkat tinggi secara berkala untuk membina hubungan yang lebih utuh antara Pakistan dan Malaysia.

Selain hubungan bilateral, kedua-dua pemimpin juga membincangkan situasi di Gaza, menurut laporan APP.

Shehbaz menghadapi cabaran berat untuk menstabilkan ekonomi dan menenangkan ketegangan politik antara kerajaan gabungan yang dipimpin oleh parti beliau Liga Muslim-Nawaz (PML-N) dan pembangkang Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI) bekas perdana menteri Imran Khan.

Tiada parti yang mendapat majoriti mudah di Dewan Perundangan selepas pilihan raya 8 Feb lepas.

Shehbaz dipilih ke jawatan tertinggi pada Ahad dengan sokongan daripada parti-parti lain, termasuk Parti Rakyat Pakistan (PPP).

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan