AM

ANWAR DAN ALBANESE KALI PERTAMA BERSEMUKA DI ALM MALAYSIA-AUSTRALIA DI MELBOURNE

04/03/2024 07:27 PM

MELBOURNE, 4 Mac (Bernama) -- Pemimpin Malaysia dan Australia berserta pegawai atasan kedua-dua negara berkumpul di Government House, Victoria di Melbourne pada Isnin untuk Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia (ALM) kali kedua, pertemuan bersemuka pertama sejak ALM bermula pada 2021.

Pertemuan sulung pada tahun 2021 diadakan secara maya kerana pandemik global COVID-19. 

ALM berperanan sebagai asas penting untuk kedua-dua negara meningkatkan perkongsian mereka di bawah rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), yang dicapai pada 2021.

Memandangkan Malaysia dan Australia telah memasuki fasa baharu rangka kerja CSP, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua negara bersetuju terhadap usaha pegawai kerajaan dan kementerian masing-masing dalam isu perdagangan dan pelaburan, pendidikan, sukan, ekonomi digital dan keselamatan siber.

"Kami juga mengambil peluang untuk sekali lagi memperkuat pertumbuhan perdagangan dua hala, kerana Australia masih menjadi rakan dagang ke-10 terbesar kita dan minat yang ditunjukkan oleh pelabur dan syarikat-syarikat, syarikat-syarikat Australia yang datang ke Malaysia, kelihatan semakin meningkat. Ini menunjukkan tanda keyakinan mereka terhadap Malaysia," katanya.

Anwar, dalam sidang media bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di sini selepas mengakhiri ALM berkata Malaysia dan Australia mengesahkan semula komitmen untuk memperkuat kerjasama sedia ada, termasuk dalam beberapa bidang tertentu seperti ekosistem vaksin dan peralihan ke tenaga bersih.

Albanese berkata Malaysia adalah salah satu rakan lama dan penting Australia di rantau ini, dan kedua-dua negara terikat bersama dalam banyak cara, daripada hubungan keluarga dan hubungan ekonomi yang rapat, kepada puluhan ribu pelajar dan pelancong di Australia dan Malaysia.

"Apa yang lebih penting, kami berkongsi aspirasi yang sama untuk rantau yang menjadi tempat kami. Kami percaya dalam sebuah rantau Indo-Pasifik yang terbuka, stabil dan sejahtera, dan di mana kedaulatan dihormati dan perselisihan diselesaikan melalui dialog, serta peraturan serta norma yang dipersetujui," katanya.

Albanese berkata pertemuan beliau dengan Anwar hari ini menekankan komitmen yang teguh terhadap wawasan dan keinginan bersama untuk membawa "rakyat dan ekonomi di kedua-dua negara lebih dekat lagi."

"Australia bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha Malaysia mencari peluang ekonomi, pelaburan, pembangunan dan pertumbuhan. Perkongsian strategik komprehensif kita memberi kita kerangka untuk melakukan itu, begitu juga Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan