KOTA KINABALU, 4 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan rasa terkilannya terhadap pihak tertentu, yang mempersenda dan memperlekeh slogan keramat Sabah Maju Jaya (SMJ) sama ada menerusi penulisan atau komen di media sosial.
Beliau berkata walaupun SMJ, yang kini menjadi sebutan ramai, merupakan frasa ringkas, namun ia membawa mesej serta makna besar untuk mengajak setiap rakyat Sabah mencintai kemajuan dan kejayaan.
Hajiji berkata akronim SMJ dipilih sebagai hala tuju pembangunan Sabah, pelan penting dalam membangunkan negeri, kerana mahu mengangkat slogan yang telah lama berada pada Jata negeri itu ke kedudukan lebih tinggi.
“Niat dan hasrat kita ialah mengangkat dan menjulang tinggi slogan keramat Sabah Maju Jaya dari Jata Negeri yang setiap masa terlihat dan terbaca oleh kita, tetapi ramai pula yang memperlekehkannya dan memandang rendah usaha murni yang kita perjuangkan itu.
“Pada saya, mempersenda dan memperlekeh slogan Sabah Maju Jaya, samalah sifatnya seperti tidak menghormati, atau tidak menyayangi bahkan menghina negerinya sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.
Hajiji berkata negeri lain termasuk di negara jiran Indonesia, juga mempunyai slogan mereka tersendiri bagi melonjak kemajuan negeri masing-masing.
“Hakikatnya, kita perlu bertekad cemerlang serta tekun berusaha, lebih-lebih lagi selaku anggota perkhidmatan awam yang komited dan bertanggungjawab untuk menjadikan Sabah lebih maju dan rakyatnya berkemajuan. Apa juga isu dan cabaran mendatang, kita perlu mengharunginya bersama dengan cekal dan bijaksana.
“Jangan mudah terpengaruh dengan adu domba atau provokasi pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu melihat kita terus bertelingkah. Kita perlu berikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha menjadikan Sabah lebih maju dan berjaya,” tegasnya.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah akan terus memastikan kehidupan rakyatnya terbela, dengan mengambil beberapa langkah proaktif termasuk menyelesaikan isu berbangkit berkaitan keperluan asas khususnya elektrik, air dan perumahan.
Beliau berkata isu tersebut telah menghantui rakyat Sabah sejak sekian lama, dan tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak, kerajaan pimpinannya sejak September 2020 telah melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi menjamin kehidupan rakyat yang lebih selesa.
“Kita telah melancarkan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 pada September tahun lalu sebagai usaha beralih daripada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui seperti gas asli dan bergantung kepada rangkaian sungai di Sabah.
“Permintaan bekalan tenaga elektrik semakin meningkat pada masa ini boleh diatasi dengan mempercepatkan pengeluaran hidroelektrik bagi memenuhi keperluan industri yang semakin pesat di negeri ini,” katanya dan menambah, tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biomas dan biogas akan melengkapkan lagi kapasiti penghasilan tenaga elektrik di Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom yang dijangka siap pada 2029, aliran bekalan elektrik akan diperluas dengan menghubungkan rantau selatan dan tenggara Sabah sekali gus mencipta rangkaian tenaga lebih stabil.
Beliau berkata projek itu akan turut membantu menyelesaikan kekurangan bekalan air dalam tempoh masa panjang dengan penghasilan 6,000 juta liter air sehari, sekali gus menjadi pemangkin perubahan kepada Sabah dan menjamin kehidupan lebih baik dan sempurna pada masa akan datang.
“Bagi memastikan bekalan air lebih stabil, kerajaan juga meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Telibong I dan II, dengan 130 juta liter sehari (JLH) hingga 160 JLH, yang mampu membekalkan air di kawasan utara Kota Kinabalu termasuk Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Universiti Malaysia Sabah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial