EKONOMI

Prestasi Kewangan Pkns Baik, Masih Raih Keuntungan - Mb

04/03/2024 04:43 PM

SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan prestasi kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berada dalam keadaan baik, dan masih memperoleh keuntungan.

Beliau berkata aliran tunai PKNS juga berada ditahap yang baik, sekali gus menepis dakwaan anak syarikat kerajaan negeri itu berada dalam keadaan teruk dan menanggung hutang sebanyak RM5.7 bilion.

“PKNS masih memperoleh keuntungan daripada pendapatan utama operasinya. Aliran tunai PKNS juga berada pada tahap yang lebih baik dan ia mampu membayar semua liabiliti perbadanan itu," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.  

Beliau menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang bertanya sama ada PKNS sedang menanggung hutang yang besar berjumlah RM5.7 bilion.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pendapatan utama PKNS adalah berdasarkan operasi dan bukannya daripada sukuk atau pinjaman yang dibuat.

“Sumber pendapatan PKNS dari 2018 hingga 2022 adalah daripada jualan bangunan, penjualan tanah dan penswastaan.

"Pendapatan utama PKNS pada tahun-tahun itu adalah daripada penjualan tanah yang berjumlah kira-kira 60 hingga 80 peratus daripada keseluruhan pendapatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan