AM

STANDARD MANDATORI BAHARU JALUR LEBAR TANPA WAYAR BERKUAT KUASA 1 APRIL

04/03/2024 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) yang telah dikemas kini bagi perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar akan berkuat kuasa mulai 1 April ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata MSQoS yang dikemas kini oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menetapkan penyedia perkhidmatan jalur lebar perlu memastikan purata kelajuan muat turun tidak kurang daripada 7.7 megabait sesaat (Mbps) pada tahun ini.

Beliau berkata menerusi kemas kini standard itu juga, purata kelajuan muat turun mestilah tidak kurang daripada 10.0 Mbps bermula tahun depan.

“MSQoS bagi perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar kita telah kemas kini dan ini dibuat sebagai usaha  meningkatkan kualiti perkhidmatan Internet di negara ini.

“Sebagai contoh, sebelum ini kita tetapkan tidak kurang daripada 90 sampel ujian perkhidmatan itu perlu mencapai kelajuan muat turun pada 2.5 Mbps atau lebih tinggi dan apabila berkuat kuasa standard mandatori yang baharu ini, purata kelajuan muat turun tidak boleh kurang daripada 7.7 Mbps,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Teo menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung strategi kementerian dalam menyelesaikan isu kualiti perkhidmatan rangkaian Internet di seluruh negara khususnya di Kelantan.

Menjawab soalan asal yang dikemukakan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai peratusan liputan telekomunikasi dan Internet di Tanjong Manis, Sarawak, Teo berkata setakat suku keempat 2023, liputan kemudahan itu di kawasan berpenduduk sudah mencapai 89.57 peratus.

Beliau berkata sehingga tempoh itu, enam daripada 13 menara baharu telah siap dibina dan beroperasi manakala lima lagi masih di peringkat pembinaan dan dua di peringkat pemasangan peralatan pemancar.

“Selain itu, kesemua 65 stesen pemancar sedia ada telah siap dinaik taraf dan sebanyak 1,649 daripada 3,225 premis telah dilengkapi dengan akses kepada perkhidmatan jalur lebar gentian optik berkeupayaan gigabit.

“Baki kesemua inisiatif yang dirancang dijangka siap secara berperingkat pada penghujung tahun 2025,” katanya.

Teo berkata selain inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Berhad sedang melaksanakan pembinaan 600 menara baharu di bawah inisiatif SMART 600 bagi menambah baik liputan jalur lebar mudah alih di negeri itu.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan