EKONOMI

60,843 Unit Rumah Selangorku Dilancarkan Setakat 31 Jan Lepas

04/03/2024 12:27 PM

SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Sebanyak 60,843 unit Rumah Selangorku dilancarkan setakat 31 Jan lepas daripada 200,000 yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya negeri tahun lalu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata daripada jumlah yang dilancarkan, sebanyak 37,008 unit telah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pembeli manakala baki 23,835 unit sedang dalam peringkat pembinaan.

Beliau berkata untuk 2024, kerajaan negeri menyasarkan 5,997 unit lagi akan siap dibina manakala 17,229 unit rumah akan memulakan pembinaan di lapangan.

“Untuk mencapai sasaran tersebut juga, pembinaan kediaman komersial seperti pangsapuri perkhidmatan mampu milik akan diambil kira,” katanya pada Persidangan DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) berhubung status pembinaan 200,000 Rumah Selangorku yang dijanjikan dalam manifesto gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri yang lepas. 

Pada Pilihan Raya Negeri Selangor yang berlangsung Ogos tahun lepas, gabungan PH-BN menerusi tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun antara lain menjanjikan pembinaan 200,000 rumah Kediaman Kita Selangor dalam tempoh lima tahun sebagai tawaran sekiranya dipilih membentuk kerajaan negeri.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan