EKONOMI

Institusi, Peruncit Tempatan Sebagai Pembeli Bersih Minggu Lepas - Midf Research

04/03/2024 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Institusi tempatan membeli ekuiti bernilai RM443.5 juta di Bursa Malaysia minggu lepas, selepas jualan bersih selama lima minggu berturut-turut, kata MIDF Research.

Dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 1 Mac, firma penyelidikan itu berkata peruncit tempatan turut membeli bersih ekuiti bernilai RM59.6 juta minggu lepas, selepas jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya minat belian pelabur asing di Bursa Malaysia tidak diteruskan minggu lepas selepas mereka menjual bersih ekuiti bernilai RM503.1 juta, jualan bersih tertinggi yang disaksikan dalam tempoh 19 minggu.

“Mereka membeli bersih RM189.7 juta pada Selasa tetapi menjadi penjual bersih untuk tempoh berbaki minggu berkenaan, dengan jualan bersih tertinggi pada Rabu berjumlah RM268.3 juta,” katanya.

MIDF Research berkata sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah utiliti (RM274.0 juta), pengangkutan (RM61.4 juta) dan telekomunikasi dan media (RM31.2 juta).

Sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (-RM515.9 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM107.6 juta), dan perladangan (-RM76.1 juta).

Dari segi penyertaan, katanya terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian bagi semua kelas pelabur, dengan peruncit tempatan menyaksikan kenaikan 14.0 peratus, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing menyaksikan pertambahan 13.1 peratus dan 109.8 peratus.

Firma penyelidikan itu memaklumkan terdapat peningkatan dalam aktiviti belian bersih oleh pelabur asing di Asia sepanjang Februari, berjumlah US$10.72 bilion ke atas lapan pasaran yang dipantaunya, berbeza dengan angka Januari sebanyak US$468.6 juta.

“Ini merupakan pembelian bersih bagi bulan keempat berturut-turut sejak November 2023,” katanya.

Di Bursa Malaysia, pelabur asing turut kekal sebagai pembeli bersih untuk bulan keempat berturut-turut sebanyak RM1.32 bilion pada Februari, hampir dua kali ganda daripada jumlah pada Januari iaitu RM678.4 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan