AM

Pengguna Premium Aplikasi Gm Klang Nikmati Diskaun Sehingga 50 Peratus

03/03/2024 06:31 PM

KLANG, 3 Mac (Bernama) -- Pengguna premium Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang dapat menikmati diskaun sehingga 50 peratus bagi kedai-kedai terpilih menerusi program GMK WOW DAY yang berlangsung pada hujung minggu pertama (Sabtu dan Ahad) setiap bulan. 

Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata ketika ini tawaran potongan harga itu melibatkan penyertaan 30 penjual yang menawarkan barangan seperti produk pakaian, permainan, barangan perkakas rumah, snek dan kasut.

Beliau berkata tawaran itu tidak hanya dinikmati pengguna yang hadir membeli-belah secara fizikal di gedung jualan borong itu, malah manfaat tersebut juga terpakai bagi pembelian secara dalam talian.

"Selain itu, pemegang aplikasi juga akan mendapat e-baucar bernilai RM10 bagi RM100 yang dibelanjakan di mana-mana kedai terpilih menerusi GMK WOW Voucher dan lebihan ini hanya boleh dinikmati pada setiap dua hari ketika GMK WOW Day berlangsung.

"GM Klang sebagai pusat borong dengan konsepnya adalah lebih banyak yang mereka (pelanggan) beli lebih banyak penjimatan mereka dapat. Jadi konsep itu kita cuba terapkan, apabila mereka berbelanja di sini mereka akan mendapat pulangan setimpal," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Norsuhaida berkata selain e-baucar, faedah lain yang dinikmati ahli premium adalah baucar parkir percuma di GM Klang selain pelbagai ganjaran lain menerusi kempen-kempen yang telah diatur dari semasa ke semasa.

"Banyak manfaat telah kami sediakan dalam aplikasi itu, sebagai contoh akses kepada GMK WOW Day ini jika selalu datang, mereka akan dapat membeli barangan dengan harga promosi untuk ahli premium iaitu tidak boleh dinikmati oleh pengguna biasa," katanya.

Menurut Norsuhaida, aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play Store dan pengguna boleh mendaftar sebagai ahli premium dengan yuran sebanyak RM15 setahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan