AM

Jualan Rahmah Rekod Lebih 9 Juta Pengunjung Tahun Lepas

03/03/2024 05:27 PM

MARAN, 3 Mac (Bernama) -- Seramai 9.2 juta pengunjung direkodkan pada 6,870 program Jualan Rahmah yang diadakan di seluruh negara pada tahun lepas. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata program yang dilaksanakan itu melibatkan 222 kawasan Parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Daripada jumlah itu (6,870 program), sebanyak 3,053 PJR (program Jualan Rahmah) di dalam premis, 685 PJR di luar premis dan sebanyak 3,132 melibatkan Program Jualan Rahmah Bergerak.

"Bagi tahun ini, kita menyasarkan untuk mengadakan PJR secara berterusan dengan minimum dua kali sebulan bagi setiap kawasan Parlimen tetapi tidak mustahil lebih dari dua kali jika sambutan menggalakkan," katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas sesi walkabout Karnival Jualan Rahmah Madani Pahang di Dataran Anjung Pusat Bandar Jengka, di sini hari ini.

Fuziah berkata PJR tahun ini turut dimeriahkan dengan Jualan Rahmah Back To School bermula 2 hingga 3 Mac di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara yang menawarkan kelengkapan persekolahan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding di pasaran.

Bagi negeri Pahang, beliau berkata KPDN negeri telah mengadakan 486 program Jualan Rahmah di seluruh kawasan Parlimen dan DUN iaitu 230 di dalam premis, 29 di luar premis manakala secara bergerak sebanyak 227 pada tahun lepas.

"Bermula 1 Januari sehingga 29 Februari lalu, sebanyak 56 PJR telah diadakan iaitu 16 PJR di dalam premis dan 40 PJR secara bergerak," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan