JENAYAH & MAHKAMAH

86 Kes Tangkapan Bot Nelayan Asing Cuba Ceroboh Perairan Negara Tahun Lepas - Shamsul Anuar

02/03/2024 11:54 PM

KUALA NERUS, 29 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan 86 kes tangkapan bot nelayan asing yang cuba menceroboh perairan negara, sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bagaimanapun isu pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut negara masih terkawal.

“Saya yakin dengan keupayaan aset yang ada dan kemahiran serta kecekapan anggota APMM yang semakin meningkat, kes pencerobohan nelayan asing ke negara ini akan sentiasa dapat dikawal dan dibanteras,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Maritim Perkasa 2024 di perkarangan Jambatan Angkat, di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah tangkapan bot nelayan itu 10 kes direkodkan di Terengganu, dan ia sekali gus berjaya menyelamatkan hasil maritim negara bernilai lebih RM15 juta.

Katanya selain itu APMM Terengganu juga berjaya melakukan 4,958 pemeriksaan; penggeledahan 2,847 kes; dan 37 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Untuk isu pendatang tanpa izin, perairan Terengganu dikesan kurang menghadapi isu berkenaan kerana pada tahun lepas terdapat hanya satu kes sahaja, namun kes yang perlu diberikan perhatian di negeri ini adalah isu pencerobohan bot nelayan asing khususnya dari Vietnam.

“Justeru, kerjasama antara kerajaan Terengganu dan APMM sangat penting dalam memastikan sempadan perairan negara tidak mudah dibolosi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya

Katanya masyarakat tempatan khususnya komuniti maritim perlu terlibat sama membantu pihak APMM dengan menjadi ‘mata dan telinga’ bagi menyalurkan maklumat atau aduan dalam memastikan isu berkenaan dapat dibendung sewajarnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan