JENAYAH & MAHKAMAH

Korban Nahas Di Kuala Krai Meningkat Kepada Empat Orang

02/03/2024 11:34 PM

KUALA KRAI, 2 Mac (Bernama) -- Seorang lagi kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan dua kereta di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di sini hari ini meninggal dunia di hospital, menjadikan angka korban nahas itu kepada empat orang, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai DSP Kamarulzaman Harun. 

Beliau berkata Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu meninggal dunia pada 3.15 petang tadi  ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.

Kamarulzaman berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta jenis Nissan March dari Gua Musang menghala ke Kota Bharu telah masuk ke laluan kereta jenis Perodua Myvi dari arah Kota Bharu menghala Gua Musang sehingga menyebabkan kedua-dua kereta itu bertembung.

"Dalam kejadian ini, tiga mangsa di dalam kereta Perodua Myvi maut di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa (dalam Perodua Myvi) menerima rawatan di Hospital Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kemudian seorang daripada dua mangsa dalam Perodua Myvi itu meninggal dunia di hospital sementara mangsa yang terselamat dirawat di Zon Kuning hospital sama. 

 Dua mangsa yang berada di dalam kereta jenis Nissan March iaitu pemandu yang mengalami kecederaan parah dan penumpang pula mengalami kecederaan ringan. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis akan menjalankan siasatan secara terperinci," katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak perempuan antara tiga disahkan maut dalam kemalangan jalan raya kira-kira 1.38 tengah hari tadi di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di sini dan semua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan