AM

Tunku Mahkota Ismail Rasmi Festival Perarakan Chingay 2024

02/03/2024 04:15 AM

JOHOR BAHRU, 1 Mac (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim malam ini berkenan berangkat merasmikan Festival Perarakan Chingay 2024 di Jalan Wong Ah Fook di sini.

Turut berangkat ke festival itu Raja Muda Johor Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim dan paduka anakanda Tunku Khalsom Aminah Sofiah.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar.

Tunku Mahkota Ismail, yang berangkat tiba pada 8.40 malam, berkenan menyempurnakan simbolik perasmian festival itu dengan memalu gendang di pentas utama berhadapan pusat beli-belah Komtar JBCC.

Sebanyak 13 kereta berhias dan sekurang-kurangnya 10 kumpulan tarian singa serta naga berarak sepanjang lapan kilometer yang bermula dan berakhir di Tokong Xing Gong, Jalan Ulu Air Molek di sini.

Orang ramai turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan tarian tradisional dan kebudayaan serta pertunjukan bunga api dan wusyu.

Dianggarkan lebih 300,000 pengunjung hadir menyaksikan festival itu yang merupakan acara tahunan dalam kalendar pelancongan Johor.

Perarakan Chingay ialah acara kebudayaan masyarakat Tionghua di Johor sejak tahun 1870.

Festival itu membawa maksud signifikan kepada masyarakat Tionghua kerana menggambarkan semangat permuafakatan yang kukuh antara kelima-lima suku dialek iaitu Teochew, Hokkien, Hakka, Guangsiew dan Hainan.

 -- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan