JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Wanita Ditahan Seludup Pil Yaba Bernilai Lebih Rm120,000

01/03/2024 11:15 PM

KOTA BHARU, 1 Mac (Bernama) -- Dua wanita ditahan kerana disyaki menyeludup 20,000 pil yaba yang dianggarkan bernilai RM128,480. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kedua-dua suspek yang berumur 32 dan 38 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di tepi jalan Kampung Sering, di sini, Isnin lepas.

Beliau berkata polis telah memeriksa kereta berkenaan pada 2.30 petang dan menemukan satu tong putih yang di dalamnya terdapat satu guni mengandungi pil-pil yaba seberat 2,530 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan mereka direman selama tujuh hari bermula Selasa lepas sehingga Isnin ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Muhamad Zaki berkata kedua-dua wanita itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Sementara itu katanya seramai 376 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam operasi bersepadu di seluruh Kelantan bagi tempoh 25 Feb hingga semalam.

Menurut Muhamad Zaki kesemua yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 65 tahun yang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

“Pelbagai jenis dadah dirampas dianggarkan bernilai RM400,716 manakala harta yang disita terdiri daripada kenderaan dan wang tunai bernilai RM73,949.81,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan