SUKAN

Piala Tnb: Tnb Belasah Kl 7-0, Tht Tewaskan Lmht 5-2

01/03/2024 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan saingan Piala TNB dengan langkah kanan apabila membelasah Kuala Lumpur City (KL) 7-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan TNB yang merupakan juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 berada di landasan terbaik untuk memperoleh kemenangan bagi aksi kedua suku akhir, sekali gus mara ke separuh akhir dalam misi memburu gelaran treble bagi tahun ini. 

TNB dilihat bermula garang mendominasi perlawanan pada awal permainan apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal membuka tirai jaringan pada minit ke-10 sebelum Wan Haziq Hishamuddin Wan Azmeer Ruzman menggandakan kedudukan pada minit ke-25. 

TNB di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang terus mengasak kubu KL membuahkan hasil selepas Muhammad Azrai Aizad menyudah gol peribadi kedua pada minit ke-26, sebelum pemain import Korea Selatan, Jang Jong-hyun meledakkan gol keempat TNB pada minit ke-31 pada babak kedua perlawanan.

Pertahanan TNB Norsyafiq Sumantri kemudian memastikan kedudukan skuadnya kukuh apabila menyudah dua jaringan pada minit ke-36 dan ke-37 sebelum Wan Haziq menyumbat jaringan ketujuh pada minit ke-39 dan keputusan kekal 7-0 hingga wisel penamat dibunyikan. 

TNB pada tahun ini mencipta sensasi apabila menjulang Piala Sumbangsih pada awal Februari lepas, sebelum menamatkan kemarau 21 tahun untuk merangkul kejuaraan MHL 2024 pada Selasa lepas.

Sementara itu, juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenganan mudah 5-2 menentang Liaoning Men's Hockey Team (LMHT) pada perlawanan suku akhir pertama di SNBJ.

Sekiranya TNB dan THT mampu mengekalkan kemenangan pada suku akhir kedua pada Ahad ini, kedua-dua pasukan dijangka bertemu buat kali kedua memandangkan sebelum ini telah bertemu pada aksi Piala Sumbangsih 7 Feb lepas.

Dua lagi perlawanan suku akhir pertama menyaksikan Maybank berjaya menundukkan TNB Thunderbolts 7-1 di SNBJ manakala UiTM HA-KPT (UiTM) menewaskan Nurinsafi Sporting (NI) 2-1 di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang malam ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan