AM

Mushaf Al-huffaz Bantu Golongan Hafiz Menghafal Dengan Sistematik

01/03/2024 10:26 PM

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Penerbitan Al-Quran Mushaf al-Huffaz oleh Yayasan Restu bakal membantu golongan hafiz atau huffaz menghafal ayat-ayat suci itu dengan lebih sistematik dan mudah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Berucap ketika melancarkan penerbitan Mushaf al-Huffaz di Kompleks Nasyrul Quran di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata penerbitan itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 pelajar maahad tahfiz di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al-Falah akan membeli 50,000 naskah mushaf itu untuk diedarkan ke maahad tahfiz di seluruh negara.

“Jadi insya-Allah, pertengahan bulan Ramadan ini akan terbit dan diedarkan Mushaf al-Huffaz di seluruh maahad tahfiz...pelajar huffaz akan dimudahkan untuk mengingati ayat (al-Quran),” katanya.

Mushaf al-Huffaz menggabungkan beberapa kaedah hafazan serta ulangan, bertepatan dengan tujuan penerbitannya iaitu untuk membantu memudahkan proses hafazan dan ulangan ayat al-Quran yang telah dihafaz.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata masyarakat Islam digalakkan untuk mewakafkan al-Quran dalam usaha pembudayaan kitab suci itu.

“Eloklah persiapan kita untuk wakaf al-Quran dan juga Mushaf al-Huffaz dimulakan sekarang dengan tujuan mewujudkan kesedaran awam. Allah tidak akan memiskinkan mana-mana orang mewakaf, menderma atau infaq,” katanya.

Yayasan Restu terkenal dengan penghasilan mushaf al-Quran dan penerbitan berkaitan al-Quran dengan reka bentuk eksklusif.

 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan