EKONOMI

Saham Country Heights Akan Digantung Jika Gagal Kemuka Laporan Suku Tahunan Menjelang 7 Mac

01/03/2024 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd mengumumkan bahawa ia akan menggantung dagangan dalam saham Country Heights Holdings Bhd (Country Heights) sekiranya ia gagal menyerahkan laporan bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023, menjelang 7 Mac 2024.

Pengumuman itu dibuat kerana Country Heights terlepas tarikh akhir untuk menyerahkan laporan suku tahunan iaitu pada 29 Februari 2024.

Bursa Malaysia berkata jika Country Heights tidak dapat menyerahkan laporan tertunggak berkenaan pada atau sebelum 7 Mac 2024, dagangan saham syarikat akan digantung berkuat kuasa pukul 9 pagi, pada 8 Mac 2024 sehingga diberitahu kelak.

“Menurut Perenggan 9.28(5) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR), jika penerbit tersenarai gagal mengeluarkan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh lima hari pasaran selepas tamat tempoh masa berkaitan yang dinyatakan dalam Perenggan 9.22 dan 9.23 LR sebagai tambahan kepada sebarang tindakan penguatkuasaan yang mungkin diambil oleh Bursa Securities, Bursa Securities hendaklah menggantung dagangan dalam sekuriti penerbit tersenarai tersebut.

"Penggantungan itu akan berkuat kuasa pada hari dagangan berikutnya selepas tarikh akhir penggantungan," katanya.

Bursa Malaysia berkata menurut Perenggan 9.28(6) LR, jika penerbit tersenarai gagal mengeluarkan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh enam bulan dari tarikh tamat tempoh masa yang berkaitan, sebagai tambahan kepada sebarang tindakan penguatkuasaan yang mungkin diambil oleh Bursa Securities, prosedur nyahsenarai harus dikenakan terhadap penerbit tersenarai tersebut.

Pada 5 petang, saham Country Heights tidak berubah pada 27.5 sen dengan 109,000 saham diniagakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan