AM

Lantikan Nur-ul Afida Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Bukti Pengiktirafan Wartawan Wanita

01/03/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pelantikan Nur-ul Afida Kamaludin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu adalah satu lagi kejayaan dan pengiktirafan bagi golongan wartawan wanita di negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata pelantikan Nur-ul Afida ke jawatan penting di agensi itu juga membuktikan wartawan wanita mempunyai potensi dan kemampuan dalam kepimpinan setanding golongan lelaki.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Nur-ul (Afida) atas pelantikan itu….saya berharap ini menjadi bukti bahawa potensi dan bakat wanita adalah sama hebat dengan lelaki.

“Ini juga menjadi isyarat jelas bahawa golongan wanita perlu mendapat peluang berada dalam kelompok pembuat keputusan, selain menjadi pendorong kepada lebih ramai wanita untuk ke hadapan, dan berani berada dalam kelompok membuat keputusan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Teo hadir ke Bernama Radio hari ini untuk rakaman program sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Bernama mengumumkan pelantikan Nur-ul Afida sebagai KPE Bernama berkuat kuasa Selasa.

Pada Oktober 2023, Nur-ul Afida, 57, mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan Ketua Pengarang Bernama.

Beliau yang sebelum ini turut menjalankan tugas dan tanggungjawab CEO, mengambil alih jawatan itu daripada Jamaluddin Muhammad yang bersara wajib Disember lepas.

Nur-ul Afida mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan telah memegang beberapa jawatan penting di Bernama, antaranya sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan