JENAYAH & MAHKAMAH

4,451 Individu Ditahan Atas Pelbagai Kesalahan Dadah Di Johor

01/03/2024 05:59 PM

JOHOR BAHRU, 1 Mac (Bernama) -- Seramai 4,451 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Op Pemutihan yang dijalankan sejak Januari sehingga Februari lepas membabitkan nilai rampasan RM6.98 juta.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata seramai 66 tokan dadah dan 624 orang dikehendaki turut ditahan dalam operasi membabitkan seramai 13 pegawai dan 91 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari seluruh negeri itu.

Beliau berkata operasi itu menyasarkan kawasan panas penyalahgunaan dadah termasuk Felda, projek perumahan rakyat, perumahan kos rendah, jeti nelayan dan ‘mobile port’.

“Daripada 4,451 individu itu, seramai 485 orang ditahan membabitkan kes membekalkan dadah, 954 memiliki dadah dan 3,012 pula merupakan penagih.

“Kesemua individu yang ditahan berumur dalam lingkungan 18 hingga 70 tahun, dengan 209 orang daripadanya merupakan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara dadah yang dirampas adalah 5,680 biji pil erimin 5, 5.72 kilogram (kg) heroin, 90.65 kg syabu, 43 kg serbuk ecstasy dan 1,206 biji pil yaba, sekali gus menjelaskan operasi turut melibatkan sitaan harta bernilai RM3.56 juta.

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39C, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Beliau pada masa sama menyeru kepada masyarakat agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah menerusi hotline JSJN di talian 012-2087222.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan