EKONOMI

Untung Bersih Wasco Bagi Tahun Kewangan 2023 Melonjak 259 Peratus Kepada Rm154.8 Juta

01/03/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Keuntungan bersih penyedia penyelesaian tenaga, Wasco Bhd melonjak kepada RM154.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 daripada RM43.1 juta setahun lepas.

Hasil meningkat 10.1 peratus kepada RM2.61 bilion bagi tahun kewangan 2023 berbanding RM2.37 bilion sebelumnya, disumbangkan oleh perkhidmatan tenaganya dan segmen perniagaan perkhidmatan biotenaga.

"Segmen perkhidmatan tenaga mencapai pertumbuhan yang luar biasa 12.4 peratus tahun ke tahun, mencecah RM2.3 bilion disokong oleh perolehan kontrak-kontrak baharu.

"Sementara itu, bahagian perkhidmatan biotenaga mencatatkan peningkatan 8.2 peratus tahun ke tahun kepada RM288.8 juta walaupun berhadapan cabaran dalam operasi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Wasco prestasi yang lebih baik itu dipacu oleh peningkatan dalam projek dandang tenaga biojisim, peningkatan jualan dandang perindustrian, dan permintaan yang meningkat bagi turbin berkuasa wap serta peralatan agroteknologi yang lain.

Tahap kadar hutang bersih Wasco pada akhir 2023 turun 0.5 kali, sekali gus mengukuhkan kunci kira-kira syarikat itu. 

Hasil daripada peningkatan keuntungan, pulangan ke atas ekuiti meningkat lebih 100 peratus kepada 15 peratus berbanding tahun kewangan 2022, katanya.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai bagi suku keempat dalam tinjauan berjumlah RM85.9 juta, kenaikan tiga kali berbanding suku yang sama setahun lepas, dengan hasil melonjak 13.21 peratus kepada   RM801.0 juta berbanding RM707.5 juta setahun lepas.

Mengenai prospek, Wasco berkata kumpulan itu mengakhiri tahun tersebut dengan nilai perolehan kontrak yang kukuh dalam semua bahagian perniagaan, dengan pesanan tertunggak dalam projek peralihan tenaga bernilai RM203 juta, termasuk penyalut saluran paip untuk sektor pemerangkapan dan penyimpanan karbon.

"Kumpulan itu baru-baru ini menaik taraf kemudahan penyalutan paip United Kingdom (UK) kami di Pelabuhan Hartlepool untuk menawarkan perkhidmatan salutan tambahan daripada permintaan yang memberangsangkan daripada sektor ini. Proses naik taraf itu dijangka selesai pada Mac 2024, diikuti dengan fasa ujian dengan pengeluaran pada skala penuh bermula April 2024," katanya.

Sementara itu, PublicInvest Research telah menaik taraf saranan 'beli sederhana'  ke atas Wasco dengan harga sasaran yang lebih tinggi sebanyak RM1.70, didorong oleh margin yang lebih tinggi dan aliran kerja yang lebih kukuh.

"Peningkatan margin untuk dua suku berturut-turut menunjukkan pendapatannya berada pada trajektori pertumbuhan dengan gabungan projek yang lebih baik daripada kilang baharunya di Qatar.

"Pihak pengurusan juga yakin nilai perolehan kontrak akan kekal stabil pada paras melebihi RM3 bilion disokong oleh nilai tender yang kukuh berjumlah RM7 bilion," kata firma penyelidikan itu.

Antara projek Wasco di Qatar ialah projek pembesaran North Field dengan anggaran nilai kontrak US$98 juta (RM460 juta) yang dijangka siap pada separuh kedua 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan