AM

172 Murid Sk Changkat Jong Terima Bantuan Persekolahan Dari Gas Malaysia

01/03/2024 03:59 PM

TELUK INTAN, 1 Mac (Bernama) -- Seramai 172 murid Sekolah Kebangsaan Changkat Jong di sini menerima bantuan persekolahan menerusi Program 'Back to School' daripada Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd (GMES) iaitu anak syarikat Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia).

Kesemua murid Darjah Satu hingga Enam sekolah itu terdiri dalam kalangan asnaf dan B40 menerima bantuan barangan keperluan sekolah seperti beg sekolah, pakaian seragam, alatan tulis dan buku latihan yang kesemuanya bernilai kira-kira RM200 setiap seorang.

Ketua Hal Ehwal Korporat Gas Malaysia Kamarul Ariffin Ibrahim berkata bantuan persekolahan tersebut turut mendapat kerjasama Central Medicare Sdn Bhd (Central Medicare) yang menyumbangkan keperluan persekolahan kepada murid yang layak.

"Program bantuan persekolahan ini merupakan antara tanggjungjawab sosial korporat (CSR) Gas Malaysia yang telah dilaksanakan sejak 2019. 

"Selain Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, kami telah menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, Selangor membabitkan seramai 350 orang yang terpilih," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan persekolahan berkenaan hari ini.

Turut hadir Ketua Pemasaran Gas Malaysia Syahril Nizam Mohd Hashim serta Pegawai Hubungan Hal Ehwal Kerajaan Central Medicare Mohamad Hisham Mohd Taufek.

Kamarul Ariffin berkata program bantuan persekolahan itu akan diperluas dan diteruskan pada masa akan datang dengan pemilihan sekolah yang berlainan setiap tahun.

Sementara itu, Mohamad Hisham berkata program bantuan persekolahan itu, julung kali diadakan dengan kerjasama Gas Malaysia sebagai satu daripada usaha untuk meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan membeli barangan persekolahan anak mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan