EKONOMI

Malaysia Sasar Raih Pelaburan Diluluskan Lebih Tinggi Tahun Ini - Tengku Zafrul

29/02/2024 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) --  Malaysia yakin dapat meraih pelaburan diluluskan lebih tinggi pada 2024 selepas merekodkan jumlah tertinggi dalam sejarah sebanyak RM329.5 bilion tahun lepas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, katanya, kementeriannya masih belum memuktamadkan angka sasaran, tetapi menambah bahawa "kami akan memperhalusi sasaran namun (menjangkakan) pertumbuhan minimum 8 hingga 10 peratus" dalam pelaburan yang diluluskan.

Tengku Zafrul berkata pertumbuhan pelaburan mempunyai perkaitan positif dengan keluaran dalam negara kasar negara (KDNK), yang diunjur berkembang 4.0 - 5.0 peratus tahun ini.

“Jadi, ia perlu berganda daripada pertumbuhan KDNK, kemudian barulah kita melihat kepada industri dan kitarannya dan kita melihat elektrik dan elektronik (E&E) berada pada kitaran meningkat.

“Tetapi sektor lain mengalami lebihan bekalan, jadi akan ada sedikit kesan,” katanya pada majlis pengumuman prestasi tahunan pelaburan Malaysia dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama bagi 2023.

Setakat ini, terdapat 1,710 projek sedang dalam perancangan, dengan cadangan pelaburan berjumlah RM87.8 bilion, katanya.

Daripada cadangan pelaburan ini, sebanyak 1,648 projek adalah daripada sektor perkhidmatan terpilih (RM52.7 bilion), manakala 62 projek daripada sektor pembuatan (RM35.1 bilion), yang kesemuanya terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Selain itu, MIDA sedang giat merundingkan pelaburan berpotensi tinggi berjumlah RM88.82 bilion. 

Sementara itu menyentuh mengenai prestasi ringgit, Tengku Zafrul berkata, sektor pelaburan tidak begitu dipengaruhi oleh pergerakan mata wang.

“Mata wang untuk pelaburan tidak begitu sensitif apabila melibatkan aliran modal.

"Apabila kita berbincang dengan pelabur, sejujurnya mata wang ringgit tidak dibincangkan sama sekali,” katanya. 

Bagaimanapun beliau menekankan akan kepentingan untuk menggandakan sumbangan pelaburan kepada KDNK daripada paras sekarang antara 20- 3 peratus.

“Pada 1990, komponen pelaburan daripada KDNK adalah dua kali ganda daripada hari ini. Kali terakhir, ia hampir 35 peratus. Jadi, kita perlu kembali kepada keadaan kita seperti sebelum ini,” katanya.

Justeru, katanya, kementeriannya sedang berusaha keras untuk menarik pelaburan dan perdagangan ke negara ini.

Beliau berkata penstrukturan semula MIDA sebagai Agensi Penggalakan Pelaburan Pusat merupakan inisiatif strategik untuk membentuk semula dan mengukuhkan landskap penggalakan pelaburan Malaysia.

“Matlamatnya adalah untuk menarik pelaburan berkualiti yang melengkapkan objektif negara, memberi tumpuan kepada industri penting, memastikan pelaksanaan segera pelaburan yang diluluskan dan meningkatkan kepuasan pelabur.

“Pada dasarnya, MIDA berusaha untuk mewujudkan iklim perniagaan yang menarik, memacu kemajuan ekonomi, dan menyediakan kepada pelabur pengalaman yang lancar dan memberi manfaat,” kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan