EKONOMI

Ey: Cukai Perkhidmatan Bagi Logistik Kekal 6 Peratus Kurangkan Impak Kos Perniagaan, Pengguna

29/02/2024 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Keputusan kerajaan untuk mengekalkan cukai perkhidmatan yang tidak berubah pada enam peratus bagi perkhidmatan logistik akan membantu mengurangkan impak kos terhadap perniagaan dan pengguna, kata Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd (EY).

Rakan pengurusan cukai EY Malaysia Farah Rosley berkata kebolehgunaan pengecualian perniagaan kepada perniagaan (B2B) terhadap perkhidmatan logistik juga telah terbukti.

“Ini merupakan langkah yang amat dialu-alukan daripada kerajaan terhadap industri logistik untuk mengurangkan kesan melata cukai dalam rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt 2023, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus untuk semua perkhidmatan bercukai tertentu berkuat kuasa esok (1 Mac), kecuali perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta dan logistik, termasuk penghantaran barangan.

Bagaimanapun, Farah berkata pengecualian cukai perkhidmatan antara kumpulan juga wajar dipertimbangkan untuk dimanfaatkan oleh perkhidmatan logistik, memandangkan terdapat sebahagian syarikat yang mempunyai entiti logistik masing-masing dengan hanya menawarkan perkhidmatan kepada pihak yang berkaitan dengan mereka.

"Dalam keadaan ini, iaitu apabila pengecualian berkenaan tidak boleh dimanfaatkan, kos tambahan akan ditanggung oleh kumpulan ini," katanya.

Mengenai perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan (R&M) yang akan terlibat dengan kenaikan cukai, Farah berkata, adalah penting untuk melihat kategori atau jenis perkhidmatan yang mungkin terlibat dalam perkhidmatan bercukai, dan kesannya kepada perniagaan serta pengguna akhir.

“Perkhidmatan pengurusan penyelenggaraan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan tertentu untuk tanah atau bangunan bagi manfaat kediaman, serta perkhidmatan pembaikan pada hartanah kediaman, dikecualikan sebagai perkhidmatan R&M bercukai.

“Penjelasan lanjut mengenai interpretasi pengecualian ini mungkin masih diperlukan, seperti sama ada sebarang perkhidmatan pembaikan yang dilakukan untuk barangan boleh alih dalam premis kediaman, layak disenaraikan sebagai perkhidmatan R&M tidak bercukai," katanya.

Mengenai kategori baharu perkhidmatan bercukai yang disenaraikan dalam Kumpulan G: Profesional atau Kemahiran, Farah berkata perkhidmatan R&M dalam kumpulan ini juga layak menerima pengecualian cukai perkhidmatan antara kumpulan.

Selain itu, beliau berkata kebolehgunaan pengecualian B2B kepada perniagaan yang menerima perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan sama daripada perniagaan lain, yang kemudiannya ditawarkan kepada pelanggan akhir mereka, juga wajar dipertimbangkan untuk mengurangkan sebarang kesan melata cukai.

“Dalam usaha untuk meningkatkan hasil kerajaan dan meraih impak positif kepada ekonomi, pertimbangan wajar diberikan kepada kesan perubahan itu (berikutan kenaikan cukai perkhidmatan), dan adanya pengecualian untuk mengurangkan sebarang kesan melata dalam memastikan perniagaan kekal berdaya saing,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan