AM

Fama Sasar Rm7.3 Juta Hasil Jualan Fama Fest Di Lapan Negeri Tahun Ini

29/02/2024 06:24 PM

GOPENG, 29 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM7.3 juta di lapan negeri yang terbabit dengan penganjuran Program Fiesta Makanan, Bunga dan Buah (FAMA Fest) 2024.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata seramai 580 usahawan terlibat sepanjang penganjuran program itu yang akan diadakan di Perak, Sarawak, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan kira-kira 500,000 pengunjung menghadiri program berkenaan.

"Sejak penganjuran pada 2017,  FAMA Fest telah mencatatkan seramai 2.19 juta orang pengunjung dengan jumlah jualan sebanyak RM24.15 juta yang memberi manfaat kepada lebih kurang 2,180 usahawan. 

"Pada tahun 2023 sahaja, FAMA Fest telah merekodkan sejumlah 285,000 pengunjung dengan penglibatan 532 usahawan dengan hasil jualan sebanyak RM4.2 juta," katanya ketika berucap merasmikan Fama Fest 2024 @ Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arthur berkata FAMA Fest di Perak pada tahun ini menyasarkan nilai jualan berjumlah RM2 juta sepanjang lima hari program tersebut berlangsung, yang bermula hari ini.

Katanya 131 usahawan terlibat menjual pelbagai jenis makanan, minuman, buah-buahan dan bunga-bungaan manakala kira-kira 110,000 pengunjung dijangka hadir ke program berkenaan.

"Besarlah harapan saya melalui penganjuran FAMA Fest di RTC Perak ini, para pengguna akan memperolehi produk berasaskan pertanian dan industri asas tani pada harga yang berpatutan dan memangkin perbelanjaan yang dapat merancakkan ekonomi setempat.

"Usahawan dan pengeluar produk pertanian dan industri makanan asas tani juga mempunyai platform untuk memasarkan produk jualan mereka di samping dapat mempromosi dan memperkenalkan produk mereka dengan lebih meluas lagi," katanya.

Pelbagai jenis makanan dan minuman diketengahkan kali ini menerusi kluster Empayar Makanan yang membawakan makanan tular dan terkenal. 

Selain itu, para pengguna juga boleh mendapatkan barangan keperluan isi rumah menerusi 9,000 kampit Beras Putih Tempatan (BPT), 12,000 biji telur ayam selain sayur-sayuran, buah-buahan dan Kombo MADANI yang ditawarkan pada harga penjimatan sehingga 30 peratus.

Pelbagai pameran seperti Pameran Korporat dan Perkhidmatan FAMA turut diadakan untuk memberikan informasi terkini mengenai perkhidmatan FAMA kepada rakyat. 

Turut diadakan pemeriksaan kesihatan dan derma darah. Pengunjung juga disarankan untuk melawat Pusat Rujukan @ Hygrow Farm Ville yang memperlihatkan teknologi tanaman pertanian yang digunakan serta pesta mini cahaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan