AM

Maqis Kedah Rampas Lebih 27,000 Kg Ayam Sejuk Beku

29/02/2024 06:39 PM

ALOR SETAR, 29 Feb (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 27,564 kilogram (kg) keratan ayam sejuk beku di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Selasa lepas.

Pengarah MAQIS Kedah Hisham Abu Bakar berkata pemeriksaan terhadap 1,257 kotak seberat 15,084 kg keratan ayam sejuk beku itu, pada 12 tengah hari, mendapati pengisytiharan barangan itu tidak tepat dan mengelirukan.

Selain itu katanya sebanyak 1,040 kotak seberat 12,489 kg keratan ayam sejuk beku yang tidak memiliki sijil halal dan sijil kesihatan turut dirampas untuk tindakan lanjut.

"Kesemua ayam dirampas dianggarkan bernilai RM275,640. Kes disiasat mengikut Seksyen 13 dan Seksyen 15, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya tindakan penguatkuasaan undang-undang menerusi operasi bersama agensi akan terus diperkasa bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasil pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berjangkit serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan