AM

Keb: Pendanaan Khusus Ekosistem Program Perlu, Perkasa Keusahawanan Sabah

29/02/2024 05:33 PM

PUTRAJAYA, 29 Feb (Bernama) -- Pendanaan khusus bagi ekosistem program keusahawanan di bawah Kuasa Selia Entiti Wilayah Sabah penting dalam usaha memperkasa ekonomi golongan Bumiputera di negeri itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Datuk Dr Ramzah Dambul.

Ramzah berkata aspek pendanaan itu antara resolusi utama yang dibentangkan di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 hari ini, bagi menggalakkan pembangunan ekonomi setempat, selain turut dicadangkan diadakan peralihan daripada kerajaan sentrik kepada gerakan sivil serta  'local champion' atau pihak tempatan.

"Sudah tiba masa kerajaan Persekutuan memberikan lebih banyak kuasa tadbir urus kepada kerajaan negeri berbanding kaedah pusat atau sentrik.

"Saranan saya termasuk agar beberapa perkara dapat diuruskan sendiri secara tempatan atau yang dikatakan sebagai 'local champion',” katanya dalam pembentangan bertajuk Sosioekonomi Bumiputera Sabah sempena KEB di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut mengesyorkan pelarasan inisiatif untuk membantu membangunkan ekonomi tempatan melibatkan Bumiputera Anak Negeri dan Bumiputera Bukan Anak Negeri. 

Lima inisiatif utama perlu dilaksanakan di negeri itu yang berkaitan keterhubungan dan akses termasuk jaringan perhubungan, rangkaian komunikasi, merapatkan kesenjangan ekonomi dan penyediaan kemudahan infrastruktur yang inklusif, katanya.

Beliau berkata hal itu mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan dan keusahawanan dengan ekosistem yang lebih kukuh bukan sahaja dalam kalangan pemain industri tetapi juga penduduk tempatan. 

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar hala tuju dan pendekatan baharu yang adil, saksama dan inklusif dilaksanakan secara menyeluruh di negeri itu dalam mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera di peringkat nasional.

"Justeru itu, bagi mengukuhkan ekosistem, pemantapan kapasiti industri strategik, industri tempatan, rantaian bekalan, sistem koordinasi keusahawanan dan peluasan peluang pekerjaan perlu dilaksanakan. 

"Kita harap ada sesuatu yang spesifik untuk negeri Sabah pada dapatan KEB ini," katanya yang turut menambah penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah ialah perkhidmatan sebanyak 49.5 peratus, perlombongan dan kuari (24.8 peratus) dan pertanian (15.2 peratus).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan