AM

Jbpm Jemput Jawatankuasa Terlatih Dan Pakar Dalam Siasatan Anggota Lemas

29/02/2024 05:27 PM

BUKIT MERTAJAM, 29 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menjemput jawatankuasa terlatih dan pakar bagi bersama-sama dalam jawatankuasa khas untuk menyiasat punca insiden yang meragut nyawa anggota bomba lemas di Butterworth, dekat sini Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata jawatankuasa yang dijemput itu merupakan mereka yang betul-betul faham berhubung Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM supaya dapat memberikan syor untuk menambah baik pasukan itu.

"Siasatan secara dalaman dibuat oleh JBPM dan telah bermula, selepas itu hasil siasatan nanti akan kita ambil untuk penambahbaikan dalam pasukan terutama bagi PPDA di masa-masa akan datang.

"(Dapatan) itu kita akan tengok dari semua segi termasuk fasiliti dan latihan termasuk pengambilan pelatih dari segi syarat-syarat diwajibkan untuk menyertai PDDA, memang sekarang ini ada syarat-syaratnya (sertai PDDA) dan pelatih perlu lepasinya.

"Namun kita akan perketatkan lagi, supaya kompentensi tinggi dan syarat pun lengkap, agar perkara sebegini tidak berulang lagi pada masa depan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Izwan Illias, 42, yang juga anggota PPDA Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth ditemukan lemas pada 23 Feb lepas dan malam sebelum mayatnya ditemukan itu beliau sedang melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin, Butterworth.

Mengulas lanjut, Ahmad Izram berkata insiden itu merupakan kali pertama berlaku dalam pasukan bomba membabitkan kerja penyelenggaraan bot dan susulan itu katanya, pihaknya perlu melakukan penambahbaikan dalam prosedur operasi standard (sop) serta latihan.

"Kertas siasatan yang dijalankan itu ambil masa sebulan untuk disiapkan dan dalam jawatankuasa khas siasatan tersebut, kita turut jemput jawatankuasa terlatih yang betul-betul faham PPDA yang akan memberi cadangan kepada pihak bomba," katanya.

Terdahulu Ahmad Izram yang juga Yang Dipertua Persatuan Kebajikan JBPM menyantuni lima anak arwah Mohd Izwan berusia enam hingga 16 tahun membeli barang keperluan sekolah di Pusat Pakaian Hari-Hari cawangan Perda di sini.

Mohd Izwan meninggalkan seorang isteri Jamaliah Abd Majid, 42, dan lima anak iaitu Ilham Zulfaqar,16, Ihsan Zulfaqar, 15, Jannatul Husna,13, Izzul Zulfaqar, 10, dan Jenaira Aisyah, enam tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan