EKONOMI

Jc3 Terus Bekerjasama Dengan Kerajaan, Industri Kewangan Mengenai Pelan Tindakan Perubahan Iklim

29/02/2024 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) akan terus bekerjasama dengan kerajaan, industri kewangan dan rakan kerjasamanya mengenai pelan tindakan khusus untuk menyokong peralihan ekonomi yang adil dan teratur pada tahun ini. 

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan bersama hari ini, mesyuarat JC3 ke-12 pada 23 Februari lepas menyaksikan ahlinya mempersetujui tindakan untuk terus memberikan tumpuan pada meningkatkan aliran kewangan bagi peralihan dan penyesuaian iklim, serta membina daya tahan terhadap risiko berkaitan iklim.

“Selain itu, terdapat usaha untuk menyepadukan pertimbangan yang lebih luas tentang risiko alam semula jadi dan risiko alam sekitar dengan pembangunan strategi iklim institusi kewangan yang sedang dilaksanakan.

“Berasaskan dasar yang diumumkan oleh kerajaan, JC3 akan berfungsi sebagai platform utama untuk menggalakkan penjajaran sektor kewangan pada haluan peralihan sektoral,” kata BNM dan SC.

Bidang tumpuan utama pada tahun ini ialah menyokong pembangunan pelan peralihan yang berkredibiliti oleh industri kewangan, termasuk usaha menerbitkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan JC3 untuk membimbing pembangunan penyelesaian kewangan peralihan yang diyakini. 

Timbalan Gabenor BNM dan Pengerusi Bersama JC3 Datuk Jessica Chew Cheng Lian berkata memandangkan lebih banyak institusi kewangan telah menetapkan sasaran iklim, sangat penting bagi institusi kewangan untuk membangunkan dan melaksanakan pelan peralihan yang mantap dan diyakini sejajar dengan sasaran ini.

“Pada peringkat makro, rancangan peralihan pula perlu mencerminkan dan konsisten dengan haluan nasional dan sektoral.

“Hal ini penting untuk memastikan sokongan kewangan untuk aktiviti peralihan dan penyesuaian serta mengurangkan kesan gangguan jangka pendek terhadap ekonomi,” katanya dalam kenyataan sama. 

Pengarah Urusan SC dan Pengerusi Bersama JC3 Datuk Kamarudin Hashim berkata dengan penerbitan perundingan awam oleh Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) mengenai cadangan penggunaan Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) di Malaysia, orang ramai digalakkan untuk berkongsi pandangan tentang pendekatan, masa dan pertimbangan kritikal lain serta membantu membentuk rangka kerja untuk Malaysia.

Orang ramai boleh mengakses dan memberikan maklum balas tentang isu-isu seperti yang digariskan dalam Kertas Perundingan di https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=46cad705-4a30-4315-b09c-b8d205a46be1

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan