JENAYAH & MAHKAMAH

Laskar Kanan Maritim Mengaku Tidak Salah 12 Tuduhan Rasuah

29/02/2024 03:07 PM

ALOR SETAR, 29 Feb (Bernama) -- Seorang Laskar Kanan Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 12 pertuduhan rasuah bernilai RM3,900 enam tahun lepas.

Mohd Faizal Azizan, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Dia dituduh menerima wang tunai RM100 hingga RM600 daripada seorang individu yang didakwa mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh, melalui pindahan wang ke dalam akaun bank miliknya.

Kakitangan awam itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di sebuah bank di Jalan Sultan Badlishah di sini antara 5 Julai 2018 dan 2 Dis 2018. 

Bapa kepada tiga anak itu didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, di samping mengarahkannya menyerahkan pasport, selain perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, dan menetapkan 27 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Mohd Taufik Awaluddin dan Mohd Syahzada Azad Sanusi, manakala tertuduh diwakili peguam Syed Naqiuddin Shahab.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan