AM

Lebih 17,000 Saman Dikeluarkan Kepada Pemandu Warga Asing Sepanjang Februari - Jpj

29/02/2024 11:16 AM

JOHOR BAHRU, 29 Feb (Bernama) -- Sebanyak 17,762 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan ketika pelaksanaan Ops Khas sempena Tahun Baharu Cina, sepanjang bulan ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata kesalahan yang dikesan membabitkan tiada Lesen Memandu Malaysia (LLM) sebanyak 6,380 saman, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) (2,120), tiada insurans (1,843) dan lain-lain (7,419).

"Saman terhadap warga asing ini merupakan antara 165,553 saman yang dikeluarkan JPJ menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di seluruh negara sempena perayaan itu," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu di Plaza Tol Skudai arah selatan di sini malam tadi. 

Beliau berkata sepanjang bulan ini juga, pihaknya turut menahan 33 pemandu termasuk pemandu kenderaan awam kerana didapati positif dadah seperti syabu, ganja jenis tetra hydrocannibol (THC) dan opiat selepas ujian saringan air kencing dilakukan.

Sementara itu, menurut Lokman kes kemalangan maut tahun lepas menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2022 dengan seramai 6,344 mangsa berbanding 6,080 mangsa.

"Peningkatan adalah lapan peratus, daripada jumlah 6,344 mangsa, kira-kira 4,000 daripadanya melibatkan penunggang motosikal. Secara purata pada bulan ini, setiap dua jam ada satu kemalangan maut," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan