EKONOMI

Untung Bersih Genting Plantations Bagi Tahun Kewangan 2023 Susut Kepada Rm253.48 Juta

28/02/2024 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Genting Plantations Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang rendah kepada RM253.48 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (TK2023) daripada RM471.42 juta pada TK2022.

Hasil turut turun kepada RM2.96 bilion daripada RM3.18 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil yang lebih rendah itu disebabkan oleh harga produk kelapa sawit yang lebih lemah mengatasi pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi,” katanya.

“Pengeluaran BTS untuk TK2023 meningkat tahun ke tahun, didorong oleh ladang-ladang kumpulan di Indonesia yang memiliki profil usia yang menggalakkan dan kawasan penuaian yang diperluaskan.

“Bagi pengeluaran di ladang-ladang Malaysia, ia mengalami penurunan sedikit akibat aktiviti penanaman semula yang berterusan,” katanya.

Genting Plantations berkata prospek kumpulan untuk 2024 akan berdasarkan prestasi segmen perladangan utamanya, yang mana seterusnya bergantung kepada pergerakan harga produk kelapa sawit dan pengeluaran BTS kumpulan.

“Dalam jangka masa terdekat, kumpulan menjangkakan harga minyak sawit kekal disokong oleh bekalan global yang terhad susulan prospek pengeluaran lebih lemah dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Faktor penyumbang lain termasuklah permintaan biodiesel yang semakin meningkat di peringkat global berikutan pertambahan mandat biodiesel," katanya.​

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2023 (S4 2023), keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM63.19 juta daripada RM55.85 juta yang dicatatkan pada S4 2022, manakala hasil meningkat kepada RM800.45 juta daripada RM791.18 juta sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan