AM

Mwc Barcelona: Penyertaan Malaysia Tinggalkan Kesan Sangat Positif - Fahmi

28/02/2024 08:09 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

BARCELONA, 28 Feb (Bernama) -- Penyertaan Malaysia di Mobile World Congress Barcelona 2024 (MWC2024) telah meninggalkan kesan sangat positif dan berjaya menarik minat banyak syarikat-syarikat telekomunikasi dan peralatan telekomunikasi antarabangsa.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata penyertaan Malaysia kali ini dengan sebuah pavilion buat julung kalinya disertai 15 agensi dan syarikat tempatan yang mempamerkan inisiatif dan pencapaian masing-masing, meletakkan negara di mata dunia.

"Rata-rata maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak, Pavilion Malaysia menjadi buah mulut dan percakapan ramai, antara lain kerana pebagai aktiviti yang diadakan termasuk siri Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dan kita serahkan antara telco (syarikat telekomunikasi) Malaysia dan pelbagai syarikat.

Ini satu petanda yang cukup positif kerana MWC Barcelona merupakan acara terbesar di dunia yang kumpulkan semua penyedia perkhidmatan sama ada syarikat-syarikat telekomunikasi ataupun peralatan telekomunikasi," katanya sambil tidak menolak untuk Malaysia menyertai acara itu pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM sebelum berlepas ke Oslo, Norway untuk mengetuai Delegasi Malaysia menghadiri sesi  "Next Generation Communications Round Table” anjuran syarikat telekomunikasi Norway, Telenor.

MWC2024 yang bermula Isnin lepas menyaksikan sebanyak 24 MoU ditandatangani melibatkan syarikat telekomunikasi dan agensi Malaysia, selain Malaysia dianugerahkan Skor Ketekalan 5G Global Terbaik  oleh Ookla, peneraju global dalam pemantauan rangkaian dan cerapan kesalinghubungan.

Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia ke kongres itu turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pelesenan Global dan Pengaktifan Pasaran Starlink  Rebecca Hunter dan  mesyuarat dua hala dengan Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Finland Lulu Ranne.

"Ada beberapa perkara yang kita lihat boleh kita panjangkan lepas ini, termasuk MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) boleh berhubung dengan pihak sama di Finland untuk membincangkan beberapa perkara.

"Mungkin ada beberapa aspek...(antaranya) dari segi pengalaman yang boleh kita lihat apa yang mereka telah lakukan dan apa pencapaian Malaysia, jadi saya lihat ini satu perkembangan yang sangat positif," katanya.

MWC 2024 merupakan perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa Groupe Speciale Mobile Association (GSMA), dengan Barcelona dipilih sebagai tuan rumah penganjuran kongres yang mengumpulkan lebih 100,000 pemain industri telekomunikasi.

Selain syarikat telekomunikasi, Pavilion Malaysia yang diketuai MCMC mempamerkan reruai daripada agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan CyberSecurity Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din memberitahu Bernama, penyertaan Malaysia telah meningkatkan keterlihatannya sebagai sebuah negara sedia untuk transformasi teknologi.

“Malaysia mempunyai infrastruktur telekomunikasi yang sedia untuk masa depan dan kami telah menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja terkehadapan dalam teknologi tetapi juga bersedia untuk meningkatkan kesalinghubungan dan bekerjasama dengan lain-lain entiti untuk mempercepatkan masa depan terhubung,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan