AM

Inisiatif Tetingkap Tunggal Jadikan Malaysia Hab Pemula, Digital Serantau

28/02/2024 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Pembangunan portal MYStartup sebagai tetingkap tunggal yang menghimpunkan syarikat pemula niaga akan menjadikan Malaysia sebagai hab pemula dan digital serantau, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata platform itu akan menyatukan pemain utama dalam ekosistem secara bersepadu yang memanfaatkan syarikat pemula, pelabur dan pihak berkepentingan.

Menurut Chang, Tetingkap Tunggal menawarkan gambaran menyeluruh dan dipacu data bagi ekosistem pemula, memudahkan penggubalan dasar dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menyumbang kepada penciptaan dan pertumbuhan syarikat pemula tempatan sepanjang kitaran mereka.

“Malaysia berhasrat menjadi antara 20 negara terbaik dalam ekosistem pemula global menjelang 2030 dan meletakkan Kuala Lumpur sebagai hab pemula dan digital serantau.

“Dalam usaha mencapai visi ini, kementerian ini (MOSTI) bersama MyDigital Corporation sedang mempertingkatkan portal MyStartup sebagai Tetingkap Tunggal untuk ekosistem pemula Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Anugerah Inovasi Teknologi Terbaik edisi ketiga di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil di sini hari ini.

Chang berkata Tetingkap Tunggal dijangka diperkenalkan ketika pelancaran blueprint Kuala Lumpur 20 (KL20) pada April ini.

Beliau berkata kerajaan komited dalam membentuk ekosistem pemula yang dinamik, meletakkan negara sebagai hab utama untuk keusahawanan dan inovasi.

“Pada 2021, MOSTI telah melancarkan Pelan Hala Tuju Ekosistem Pemula Malaysia (SUPER) 2021-2030 yang menyasarkan 5,000 pemula menjelang 2025.

“Saya gembira untuk mengumumkan kita sudah mencapai lebih 3,900 syarikat pemula yang direkodkan dalam portal MYStartup,” katanya.

Chang berkata majlis anugerah itu selaras dengan visi kerajaan untuk memperkukuhkan kapasiti inovasi negara serta membuka lebih banyak peluang kepada teknologi dan bakat baharu dalam sektor berkenaan.

Majlis anugerah dihoskan bersama Malaysiakini dan Digital News Asia itu, bertujuan mengiktiraf semua inovasi teknologi terobosan dan strategi perniagaan yang memberi impak dalam ekonomi digital hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan