AM

Sesb Sasar Capai 30 Peratus Margin Rizab Bekalan Elektrik Untuk Sabah Tahun Ini - Pengerusi

28/02/2024 06:09 PM

KOTA KINABALU, 28 Feb (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyasarkan pencapaian 30 peratus margin rizab tahun ini dalam usaha menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil dan baik kepada negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusi SESB Datuk Seri Dr Wilfred Madius Tangau berkata bagi menangani cabaran ini, SESB telah merangka pelan dan inisiatif yang komprehensif sebagai sebahagian daripada strategi transformasi syarikat, yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040.

“Ini termasuk projek seperti Solar Berskala Besar (LSS) dan inisiatif biogas yang bertujuan memperkukuh kapasiti dan daya tahan dalam memenuhi permintaan tenaga di rantau ini. Dalam meneruskan usaha kami untuk meningkatkan daya tahan infrastruktur kuasa, SESB telah melaksanakan pelbagai inisiatif.

“Salah satu projek penting ialah pemasangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu, yang merupakan tajuk yang saya bincangkan sebelum ini dalam salah satu artikel saya. Apabila siap, sistem ini dapat menyimpan kapasiti 100 MW, dan ia dijangka beroperasi akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata SESB juga sedang giat meneruskan pemasangan set janakuasa diesel 100 megawat (MW) secara sewaan sebagai penyelesaian sementara bagi menangani keperluan tenaga di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya rancangan bagi mencapai sasaran itu tidak merangkumi set penjanaan elektrik yang dijangka kembali beroperasi selepas pembaikan dengan kapasiti kira-kira 136 MW.

Margin rizab secara ringkas ialah keupayaan elektrik yang tersedia dan boleh digunakan yang kekal tidak digunakan semasa keadaan beban puncak dalam sistem bekalan elektrik.

Bagi margin rizab SESB, kapasiti penjanaan elektrik untuk hari ini berada pada 1,110 MW manakala permintaan puncak untuk kuasa mencecah 1,064 MW, yang menunjukkan margin rizab tersedia ini dijangka sekitar 46 MW atau 4.3 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan