AM

Rm17 Juta Naik Taraf Stadium Hoki Seremban 2, Dua Kompleks Kbs

28/02/2024 06:10 PM

SEREMBAN, 28 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM17 juta bagi menaik taraf Stadium Hoki Seremban 2 serta Kompleks Belia dan Sukan Tampin dan Kuala Pilah bermula tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata daripada jumlah itu, RM5 juta digunakan untuk membaik pulih stadium hoki manakala RM12 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dua kompleks belia dan sukan berkenaan.

“Stadium hoki itu (baik pulih) melibatkan kerja perparitan, penggantian lampu serta pemasangan padang sintetik yang baharu, manakala kompleks beli dan sukan di Tampin dan Kuala Pilah pula sudah lama tidak dibaik pulih,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata operator kuari di 18 kawasan di negeri ini digesa mengawal aktiviti operasi masing-masing bagi mengelak berlaku jerebu dan peningkatan indeks pencemaran udara (IPU) terutama ketika cuaca panas.

“Saya tidak mahu lihat habuk bertebaran di udara, saya sudah minta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak pejabat tanah membuat pemantauan lebih kerap, tindakan tegas perlu diambil.

“Keadaan boleh terkawal jika mengikut prosedur ditetapkan, menggunakan semburan air serta kerja memecah batu dilakukan pada waktu yang sesuai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan