AM

Mbsp Keluar 46 Kompaun Terhadap Peniaga

28/02/2024 03:50 PM

BUKIT MERTAJAM, 28 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan 46 kompaun terhadap peniaga kerana pelbagai kesalahan termasuk menggajikan warga asing dalam operasi pematuhan syarat pelesenan di sekitar Bukit Tengah semalam.

MBSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, 18 kompaun dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan 11 kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen.

"Tiga kompaun lagi kerana kesalahan tidak mematuhi syarat pelesenan iaitu menggajikan warga asing  serta masing-masing tujuh kompaun iaitu huruf perkataan bahasa Melayu lebih kecil daripada bahasa lain serta lain-lain.

“MBSP sangat menitikberatkan pematuhan syarat-syarat pelesenan bagi peniaga di seluruh Seberang Perai dan operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

MBSP dalam kenyataan sama turut memaklumkan pihaknya mengeluarkan empat kompaun terhadap beberapa kenderaan pengangkut sampah dalam operasi di Jalan Changkat, Nibong Tebal, semalam.

Operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang itu bertujuan mengesan kenderaan pengangkut sampah yang menyebabkan kekotoran di jalan raya sehingga mengancam keselamatan pengguna.

"Anggota penguat kuasa MBSP telah mengambil tindakan tegas mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Mencegah Kekotoran Kerajaan Tempatan Seberang Perai 1975 terhadap pesalah yang menyebabkan kekotoran di jalan raya.

''Sebanyak empat kompaun mengikut Seksyen 3(C) UUK telah dikeluarkan kepada kenderaan yang telah melakukan kesalahan terbabit semasa operasi bersepadu dijalankan," menurut kenyataan itu.

MBSP sehubungan itu, memberi amaran kepada pemilik kenderaan pengangkut sampah di Seberang Perai supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan tindakan penguatkuasaan secara berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi melindungi keselamatan pengguna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan