EKONOMI

Pasaran Ekuiti Malaysia Dalam Keadaan Terbaik Untuk Catat Peningkatan Berterusan - Penganalisis

27/02/2024 06:15 PM

PETALING JAYA, 27 Feb (Bernama) -- Pasaran ekuiti tempatan berada dalam keadaan terbaik untuk mencatatkan peningkatan berterusan disokong oleh perkembangan luaran yang bertambah baik, jangkaan lantunan semula ekonomi China dan ditambah dengan penilaian saham dan ringgit pada harga rendah ketika ini, kata Pengarah Urusan Capital Dynamics Asset Management Sdn Bhd Tan Teng Boo.

Beliau menjangkakan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI)  akan menggandakan paras semasanya pada ketika ini  kepada antara 2,500 and 3,000 dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Tan berkata walaupun pemulihan China agak tidak menentu, ekonomi negara itu kekal utuh pada 2023 dan ini dicerminkan menerusi angka keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) yang meningkat dengan ketera berbanding kebanyakan negara maju lain. 

Pemulihan di China akan mewujudkan kesan limpahan yang besar kepada ekonomi negara lain, terutamanya dari segi perdagangan kerana republik itu merupakan rakan dagangan terpenting bagi 120 negara di seluruh dunia.

“Saya percaya bahawa ekonomi China masih yang paling utuh di dunia. Ekonomi negara itu akan kembali pulih dengan kukuh pada 2024 dan seterusnya. 

“Malaysia akan mendapat manfaat daripadanya. Ketibaan pelancong dari China masih belum mencapai tahap seperti sebelum pandemik...kita masih belum lagi melihat sepenuhnya (impak pemulihan dari China),” katanya pada taklimat media mengenai pasaran saham yang bertajuk  “Is investing in Malaysia Still Attractive Now?” di sini, hari ini.

Tan juga menepis stigma bahawa sektor hartanah China berada dalam krisis kerana pada dasarnya kerajaan negara itu telah melakukan pembaharuan terhadap sektor tersebut.

Ini disokong oleh pertambahan pesat bilangan pemaju hartanah China yang disokong oleh peningkatan jumlah firma dibiayai dalam negeri, firma dengan dana yang berasal dari Hong Kong, Taiwan dan Macau, serta firma dibiayai asing.

Beliau berkata ekonomi China akan meningkat apabila keyakinan pengguna pulih, yang mana trend itu dijangka bermula tahun ini dan seterusnya.

“Pengguna China mempunyai banyak simpanan (dan) mereka tidak berbelanja

"Oleh itu, apabila keyakinan mereka kembali, maka mereka akan mula berbelanja, iaitu dalam trilion dolar," jelasnya.

Tan berkata, industri elektrik dan elektronik, pelancongan dan sektor eksport akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada pemulihan di China, yang juga akan membantu mengimbangi kesan kegawatan yang disebabkan oleh kemelesetan yang dijangkakan di Amerika Syarikat (AS).

Beliau percaya kemelesetan itu akan mempengaruhi Rizab Persekutuan AS untuk mengurangkan kadar faedah utamanya bagi menyokong ekonomi, yang secara tidak langsung membantu meningkatkan mata wang dalam pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan