EKONOMI

Keuntungan Bersih Alliance Bank Rm176.86 Juta Pada Suku Ketiga

27/02/2024 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah pada RM176.86 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Dis, 2023, daripada RM177.10 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, berikutan peningkatan perbelanjaan operasi.

Perolehan hasilnya bagaimanapun meningkat kepada RM509.91 juta daripada RM496.54 juta, kata bank itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Bagi prestasi suku ke suku, pendapatan faedah bersih Alliance Bank berjumlah RM442.3 juta - kenaikan sebanyak RM3.8 juta atau 0.9 peratus dengan kebanyakannya disumbangkan oleh peningkatan pertumbuhan pinjaman dan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

“Margin faedah bersih (NIM) berada pada 2.49 peratus berbanding 2.75 peratus dalam tempoh sama sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pendapatan operasi lain meningkat sebanyak RM9.6 juta atau 16.5 peratus dengan kebanyakannya disumbangkan oleh peningkatan pengurusan kekayaan dan pendapatan fi perbankan, jualan mata wang asing, fi perdagangan dan fi pemprosesan.

“Kami menjangkakan trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia dipacu oleh sokongan permintaan domestik yang berterusan susulan keadaan pasaran tenaga kerja yang semakin baik.

“Namun, kami kekal berhati-hati dan mengambil maklum risiko penyusutan pertumbuhan akibat faktor ketidaktentuan luaran terutama ketegangan geopolitik dan langkah monetari yang lebih ketat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan