EKONOMI

Fedex Lancar Percubaan Penghantaran Rentas Sempadan Pertama Guna Ev Ke Singapura

27/02/2024 06:09 PM

SHAH ALAM, 27 Feb  (Bernama) -- FedEx Express, syarikat pengangkutan ekspres terbesar di dunia, telah melancarkan penghantaran rentas sempadan pertamanya secara percubaan dari Malaysia ke Singapura menggunakan kenderaan elektrik (EV) sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk mengurangkan jejak karbon dan mempromosikan logistik yang mampan.

Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia Tien Long Woon berkata percubaan itu akan meliputi jarak keseluruhan sejauh 406 kilometer dengan pengurangan pelepasan karbon dioksida dianggarkan kira-kira 100 kilogram sepanjang perjalanan berkenaan.

Perjalanan sehala oleh EV yang dikenali sebagai "Maxus eDeliver 7" itu bermula dari stesen FedEx di Shah Alam ke kemudahan FedEx di Lapangan Terbang Changi di Singapura, katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan penghantaran EV tersebut di sini hari ini.

"Kita akan berhenti di stesen Shell di Tangkak untuk tujuan pengecasan semula. Daripada data percubaan yang kita kumpulkan, kita akan melihat bagaimana keseluruhan proses berlangsung memandangkan kita merancang untuk lebih banyak EV rentas sempadan bagi jangka panjang," katanya.​

Dalam satu kenyataan berikutan dengan pelancaran tersebut, FedEx berkata percubaan itu akan dijadikan penilaian awal keberkesanan operasi untuk pengambilan dan penghantaran barangan rentas sempadan di masa hadapan.

Ia berkata keputusan yang diperoleh akan menjadi penting dalam membentuk masa depan operasi FedEx, yang mana ia bukan sahaja akan memberi manfaat kepada alam sekitar tetapi juga meningkatkan kecekapan armadanya sambil menyediakan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan