AM

Ahadin Terima Watikah Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah Yang Baharu

27/02/2024 05:43 PM

KOTA KINABALU, 27 Feb (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin hari ini menyerahkan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah yang baharu kepada Ahadin Arinen di Istana Seri Kinabalu di sini.

Pelantikan Ahadin, 53, yang berasal dari daerah Keningau bermula pada 1 Nov tahun lepas bagi menggantikan Alidin @ Ahmad Din Othman yang bersara wajib pada 19 Jun tahun yang sama.

Ahadin mula berkhidmat pada 1 Okt 1996 di Bahagian Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah Kota Kinabalu, berkelulusan dalam Sarjana Undang-Undang Perbandingan (MCL) daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 2007.

Beliau juga berkelulusan dalam Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam (DAIJ) pada 2001 dan Sarjana Muda Undang-Undang di universiti yang sama.

Dua lagi hakim turut menerima watikah pelantikan itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah (Ketua Pendaftar) Suraya Ramlee dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah (Tawau) Taherah Tahir yang disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu kenyataan media sempena majlis itu memberitahu, statistik kes didaftar di Mahkamah Tinggi Syariah Sabah sejak 2020 hingga tahun lepas, kes Mal di daerah Kota Kinabalu merekodkan sebanyak 2,005 kes, diikuti faraid (1,143 kes) dan jenayah (80 kes).

Daerah lain iaitu Sandakan, kes Mal (563 kes), faraid (103 kes) dan jenayah (12 kes); Tawau kes Mal (1,925 kes), faraid (614 kes), jenayah (79), Keningau kes Mal (230 kes), faraid (98 kes), dan Kudat kes Mal (435 kes), faraid (178 kes) dan jenayah (satu kes).

Dalam pada itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata dua lagi kekosongan dalam jawatan hakim syariah negeri akan dijalankan dalam tempoh terdekat agar dapat melancarkan urusan berkaitan syariah yang tertangguh dapat diselesaikan segera.

“Ia akan dapat memberi kelegaan khususnya kepada mereka yang sedang menunggu kes masing-masing untuk dibicarakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan