JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Didakwa Atas Tuduhan Perdaya Kontraktor Rm150,000 Untuk Dapatkan Projek Baiki Sekolah

27/02/2024 04:16 PM

KOTA KINABALU, 27 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang kontraktor sebanyak RM150,000 kononnya untuk mendapatkan projek membaiki sebuah sekolah, lima tahun lepas. 

Sidu Edin, 57, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Dia didakwa memperdaya seorang kontraktor untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu untuk mendapatkan projek pembaikan kerja-kerja darurat (AP55) sebuah sekolah di Beluran dengan nilai projek RM1.5 juta.

Sidu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di sini pada kira-kira 8 malam, 26 Mac 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan 2 April ini untuk sebutan semula kes dan jaminan RM15,000 bersama seorang penjamin. Tertuduh membayar jaminan itu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadzri Azham Zainudin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan