AM

Pemimpin Perlu Bahas Isu Rakyat, Bukan Isu Parti, Peribadi Di Parlimen - Penganalisis

27/02/2024 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Wakil rakyat perlu sentiasa menjaga adab dan menggunakan persidangan Dewan Rakyat serta Dewan Negara sebagai tempat membahaskan isu kepentingan rakyat, dan bukannya soal parti atau kepentingan peribadi. 

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpandangan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang memberikan lampu hijau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengambil tindakan tegas terhadap ahli dewan yang melampaui batas ketika bersidang, jelas menunjukkan keprihatinan Seri Paduka Baginda dalam memastikan Parlimen menjalankan tanggungjawab dengan sepenuhnya dan dengan lebih berkesan.

“Saya rasakan kuasa itu sudah ada pada speaker, dan Yang di-Pertuan Agong mahu ia digunakan lebih efektif. Selama ini speaker Dewan Rakyat ada beri kelonggaran dalam menggunakan peraturan yang ada dalam dewan,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Beliau berkata keprihatinan dan ketegasan Sultan Ibrahim itu bertujuan memastikan Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Negara menggunakan tempoh masa persidangan dengan sebaik mungkin dan memastikan proses membuat dasar menjadi lebih lancar. 

 “Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara perlu memastikan masing-masing mengguna pakai masa persidangan dengan baik dan bukan untuk bermain politik sebaliknya, untuk mengutamakan agenda merakyatkan kepimpinan dan isu-isu rakyat yang perlu dibahaskan,” katanya. 

Sivamurugan berkata peringatan tegas itu juga menunjukkan Seri Paduka Baginda mahukan kemuliaan dewan dipertahankan dan wakil rakyat memainkan peranan mereka dengan lebih telus dan berkualiti.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong memberikan lampu hijau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara yang melampaui batas, ketika bersidang.

Seri Paduka Baginda dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 semalam bertitah tindakan itu termasuk mengenakan penggantungan selama 14 hari kepada Ahli Parlimen yang terlibat, jika mereka masih berdegil.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pula berkata Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara perlulah menunjukkan keperibadian sebagai pemimpin yang berwibawa dengan disiplin yang tinggi. 

“Walaupun mereka bersidang dalam kalangan 222 ahli termasuk seorang speaker, namun berpuluh juta rakyat memerhatikan peranan mereka dalam Parlimen. Kadang-kadang gambaran yang ditonjolkan bukan hanya diperhatikan dalam negara, malah ia juga diikuti oleh penonton diluar negara.

“Bersuara lantang perlu diikuti dengan fakta, perbahasan diluar tajuk dengan tujuan provokasi sudah tidak sesuai dan sudah sampainya ia berakhir. Kita mahukan Parlimen ini bukan sahaja dihormati rakyat tetapi dihormati oleh dunia,” kata beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan